MADEIRA: Selepas hampir sedekad menyulam cinta, Cristiano Ronaldo dan Georgina Rodriguez dilaporkan bakal melangsungkan perkahwinan mereka hujung minggu ini di Madeira, Portugal, pulau kelahiran bintang bola sepak berkenaan.
Berita perkahwinan yang dinantikan peminat di seluruh dunia itu hadir kira-kira setahun selepas Ronaldo melamar Georgina dengan cincin pertunangan bernilai 3 juta pound sterling (RM16.56 juta).
Georgina kemudian berkongsi momen istimewa itu di Instagram dengan kapsyen ringkas, "Saya setuju."
Hubungan pasangan itu sering menjadi perhatian ramai sejak mereka mula bercinta pada 2016. Georgina sebelum ini pernah mendedahkan pertemuan mereka tercetus daripada "cinta pandang pertama", manakala Ronaldo pula mengakui beliau "1,000 peratus pasti" akan mengahwini wanita yang dianggap cinta hatinya itu.
Pasangan yang kini menetap di Arab Saudi selepas Ronaldo menyertai kelab Al Nassr dipercayai memilih Madeira sebagai lokasi perkahwinan kerana nilai sentimental pulau tersebut yang menyimpan pelbagai kenangan zaman kanak-kanak pemain berusia 41 tahun itu.
Menurut laporan media tempatan, upacara perkahwinan dijangka berlangsung di Katedral Funchal yang terletak di ibu kota Madeira dan mampu menampung sehingga 800 tetamu.
Selepas majlis itu, pasangan berkenaan hanya perlu menempuh perjalanan sekitar lima minit dengan kereta atau 15 minit berjalan kaki untuk tiba di lokasi resepsi.
Kemewahan bertaraf dunia
Sesuai dengan gaya hidup mewah pasangan yang dianggarkan memiliki kekayaan sekitar AS$1.4 bilion (RM5.73 bilion), mereka dilaporkan memilih hotel lima bintang Savoy Palace sebagai lokasi sambutan perkahwinan.
Terletak menghadap Lautan Atlantik, hotel ikonik itu menawarkan pelbagai kemudahan premium termasuk enam kolam renang, spa eksklusif, restoran bertaraf lima bintang, pemandangan panoramik serta perkhidmatan butler peribadi selama 24 jam.
Ronaldo dan keluarganya juga bukan asing dengan hotel berkenaan kerana pernah menginap di situ sebelum ini.
Mereka dipercayai memilih The Reserve, sebuah kawasan eksklusif yang digelar "hotel dalam hotel" dan terletak di tingkat tertinggi bangunan tersebut. Kadar penginapan di kawasan itu dilaporkan bermula sekitar 1,100 pound (lebih RM6,000) semalam.
Tetamu yang menginap di The Reserve menikmati akses ke Jacaranda Lounge & Club yang dilengkapi kolam infiniti persendirian di atas bumbung, ruang santai premium, kemudahan santapan eksklusif serta khidmat butler peribadi.
Selain memiliki 352 bilik mewah, Savoy Palace turut menawarkan pelbagai kemudahan premium termasuk pemandangan laut yang luas, almari pakaian khas, bilik mandi pasangan serta pilihan menu bantal mengikut keselesaan tetamu.
Bagi penggemar gastronomi, hotel itu turut menempatkan restoran makanan laut Galáxia yang terkenal, selain spa mewah yang menawarkan pelbagai rawatan termasuk penjagaan wajah, urutan dan terapi kecantikan.
Dari cinta pandang pertama ke pelamin
Perancangan perkahwinan pasangan itu sebenarnya bukan lagi rahsia.
alam satu wawancara sebelum ini, Ronaldo pernah menyatakan hasrat untuk mengahwini Georgina apabila tiba masa yang tepat.
"Saya akan mengahwininya kerana saya percaya ini masa yang tepat. Bukan hanya kerana dia ibu kepada anak-anak saya, tetapi kerana dia adalah insan yang paling saya cintai," katanya.
Untuk meraikan hari bersejarah itu, pasangan berkenaan boleh memilih beberapa ruang eksklusif di Savoy Palace termasuk Grand Ballroom yang mampu memuatkan sehingga 1,000 tetamu atau kawasan atas bumbung Galaxia yang menawarkan panorama menakjubkan pulau Madeira dan Lautan Atlantik.
Tetamu yang hadir pula bakal disambut dengan pintu masuk megah yang dihiasi candelier logam setinggi 33 kaki serta gubahan bunga segar, melengkapkan suasana perkahwinan yang dijangka menjadi antara acara selebriti paling mewah dan dinantikan tahun ini. - Agensi