LONDON: Atlet Kenya Sabastian Sawe melakar sejarah apabila memecahkan tembok dua jam untuk memenangi acara kategori lelaki di Maraton London 2026, manakala Tigst Assefa dari Ethiopia menetapkan rekod dunia baharu bagi kategori wanita sahaja, lapor Anadolu Ajansi.
Sawe, 31, mempertahankan kejuaraannya dengan catatan masa luar biasa 1:59:30, sekali gus menjadi atlet pertama yang menamatkan larian maraton rasmi di bawah tempoh dua jam. Atlet Kenya itu memecut di hadapan selepas tanda 30 kilometer susulan persaingan sengit dengan Yomif Kejelcha dari Ethiopia dan Jacob Kiplimo.
Advertisement
Kejelcha menduduki tempat kedua dengan masa 1:59:41, hanya 11 saat di belakang dalam penampilan sulung maratonnya, manakala Kiplimo di tempat ketiga dengan 2:00:28. Ketiga-tiga pelari berkenaan menamatkan larian di dalam tempoh rekod dunia terdahulu.
“Saya sangat gembira; ini adalah hari yang akan saya kenang selama-lamanya,” kata Sawe. “Setibanya di garisan penamat, saya melihat catatan masa itu dan saya amat teruja dapat mencatatkan rekod dunia hari ini.”
Dalam kategori wanita, Assefa mengekalkan gelarannya dengan catatan masa rekod dunia kategori wanita sahaja iaitu 2:15:41, mengatasi rekod yang ditetapkan beliau di London pada tahun lepas.
Hellen Obiri dari Kenya menduduki tempat kedua dengan 2:15:53, manakala rakan senegaranya Joyciline Jepkosgei di tempat ketiga dengan 2:15:55, menandakan kali pertama tiga wanita menamatkan maraton di bawah dua jam 16 minit.
“Saya menjerit sebaik tamat larian kerana saya tahu saya telah memecahkan rekod dunia,” kata Assefa, sambil menambah bahawa tahap kecergasan yang bertambah baik dan latihan kepantasan telah membuahkan hasil.
-- BERNAMA-ANADOLU