MADRID: Presiden La Liga, Javier Tebas menggesa Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, meletakkan jawatan sambil mendakwa badan induk bola sepak dunia itu sedang menjejaskan industri bola sepak menerusi beberapa keputusan yang dianggap lebih mengutamakan kepentingan komersial.
Dalam wawancara bersama akhbar Itali, La Gazzetta dello Sport, Tebas berkata beliau percaya tempoh Infantino menerajui FIFA sudah berakhir. Bagaimanapun, beliau mengakui Presiden FIFA itu masih mendapat sokongan kuat daripada persatuan-persatuan bola sepak kebangsaan yang membentuk sistem pemilihan badan induk tersebut.
"Pada pendapat saya, ya, saya fikir masanya sudah tamat. Namun, beliau mendapat sokongan daripada sistem dan persekutuan yang ada. Tiada calon yang benar-benar mahu menentangnya kerana sistem ini sudah rosak pada asasnya," katanya.
Tebas berkata sepanjang berada di Amerika Syarikat bagi mengikuti saingan Piala Dunia 2026, beliau mendengar pelbagai pandangan kritikal terhadap kepimpinan Infantino. Namun, menurutnya, ramai pihak memilih untuk berdiam diri walaupun menyedari kesan yang ditanggung oleh bola sepak akibat keputusan FIFA.
Beliau turut mengkritik cadangan memperluaskan saiz Piala Dunia 2030 kepada 64 pasukan, dengan menyifatkan langkah itu tidak memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak secara keseluruhan. Katanya, pertandingan domestik yang berlangsung sepanjang tahun merupakan tulang belakang industri bola sepak dan tidak seharusnya diketepikan demi kejohanan yang berlangsung hanya sekali setiap empat tahun.
"Menambah jumlah pasukan kebangsaan tidak masuk akal. Industri bola sepak bukan hanya Piala Dunia. Pertandingan domestik adalah asas yang menyokong keseluruhan ekosistem bola sepak," katanya.
Selain itu, Tebas turut mempersoalkan beberapa perubahan yang diperkenalkan sepanjang Piala Dunia 2026 termasuk rehat hidrasi yang lebih kerap serta tempoh rehat separuh masa yang dilanjutkan ketika perlawanan akhir. Beliau mendakwa keputusan berkenaan lebih menjurus kepada kepentingan komersial berbanding kepentingan sukan itu sendiri.
Tebas juga membangkitkan kontroversi melibatkan penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, yang terlepas hukuman penggantungan ketika kejohanan berlangsung. Menurutnya, isu berkenaan mencetuskan persoalan mengenai tadbir urus FIFA dan proses membuat keputusan dalam badan induk bola sepak dunia itu.
Infantino, yang memegang jawatan Presiden FIFA sejak 2016, dijangka mempertahankan kedudukannya untuk penggal keempat pada pemilihan akan datang. Namun, kritikan terbuka daripada Tebas dilihat sebagai antara serangan paling keras terhadap kepimpinan beliau susulan berakhirnya Piala Dunia 2026.