Skip to main content

Malaysia

ABK dijenamakan semula sebagai Liga M Awards

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) yang menjadi acara berprestij tahunan dalam memberikan pengiktirafan dalam arena bola sepak tempatan, kini dijenamakan semula sebagai Liga M Awards. Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-2 Bagi Penggal 2025-2029 yang dipengerusikan oleh Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan.
MFL memaklumkan bahawa Liga M Awards 2025-2026 dijangka berlangsung pada Ogos ini berbanding amalan sebelum ini yang diadakan sejurus tamat Liga-M. - Gambar Facebook MFL
Advertisement

KUALA LUMPUR: Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) yang menjadi acara berprestij tahunan dalam memberikan pengiktirafan dalam arena bola sepak tempatan, kini dijenamakan semula sebagai Liga M Awards.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat pada mesyuarat ahli lembaga pengarah kedua bagi penggal 2025-2029 yang dipengerusikan Presiden MFL Datuk  Ab Ghani Hassan.

Menurut MFL, penjenamaan semula ABK kepada Liga M Awards bertujuan memastikan identiti penganugerahan lebih tepat dengan skop penilaian yang dilaksanakan.

MFL juga memaklumkan bahawa Liga M Awards 2025-2026 dijangka berlangsung pada Ogos ini berbanding amalan sebelum ini yang diadakan sejurus tamat Liga Malaysia (Liga-M).

“Liga M Awards dilihat secara tepat sebagai anugerah yang mengangkat kecemerlangan individu dan pasukan dalam saingan Liga Malaysia, berbanding ABK yang secara umumnya merujuk kepada keseluruhan ekosistem bola sepak negara termasuk pasukan kebangsaan, pertandingan peringkat umur serta bola sepak wanita.

“Perubahan tarikh penganjuran ini membolehkan Jawatankuasa Pemilih Liga M Awards membuat penilaian secara menyeluruh berdasarkan prestasi pemain sepanjang satu musim penuh, bermula daripada perlawanan pertama Liga Super sehingga aksi terakhir musim 2025-2026, iaitu Perlawanan Akhir Piala Malaysia,” menurut kenyataan itu.

MFL menyatakan langkah mengubah tarikh penganjuran anugerah tersebut dijangka memberikan gambaran yang lebih tepat terhadap prestasi sebenar pemain dan jurulatih kerana penilaian dibuat berdasarkan keseluruhan musim.

“Langkah ini juga memberikan peluang kepada aksi-aksi penting pada penghujung saingan termasuk jaringan gol, bantuan gol dan aksi menyelamat yang luar biasa dalam perlawanan berprofil tinggi untuk turut diambil kira dalam proses pemilihan,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 15 kategori anugerah akan menjadi rebutan pada edisi pertama Liga M Awards antaranya Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Import Terbaik, Pemain Muda Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement