KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan meneliti peluang memanfaatkan Geran Padanan Sukan (GPS) berjumlah RM30 juta di bawah Belanjawan 2027 dengan kerjasama persatuan badminton negeri dan rakan korporat bagi memperkukuh penganjuran kejohanan serta memberikan lebih banyak pendedahan kepada pemain pelapis.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu penting untuk mewujudkan lebih banyak medan persaingan kompetitif di dalam negara, sekali gus membolehkan pemain tempatan mengumpul pengalaman sebelum beraksi di pentas antarabangsa.
“Bagi badminton, lebih banyak kejohanan berkualiti bermakna lebih banyak peluang untuk pemain tempatan menguji kemampuan, berdepan dengan lawan yang lebih kuat dan mengumpul pengalaman sebelum bersaing di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pendedahan menerusi pertandingan kompetitif penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada segelintir pemain bintang sedia ada, selain memastikan kesinambungan pembangunan atlet negara.
“Cabaran kita ialah memastikan apabila seorang juara bersara, sudah ada pemain pelapis yang bersedia mengambil tempatnya. Ini memerlukan pembangunan bakat secara konsisten, kejurulatihan berkualiti dan sokongan sains sukan yang menyeluruh,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, tumpuan BAM bukan sekadar melahirkan kejayaan dalam jangka pendek, tetapi juga memastikan ekosistem badminton negara kekal berdaya saing untuk generasi akan datang.
Mengulas pembangunan atlet muda, beliau berkata, peningkatan peruntukan bagi sukan di peringkat sekolah merupakan langkah positif, namun perlu disokong oleh laluan pembangunan yang kukuh supaya bakat yang dikenal pasti dapat terus dibimbing hingga ke peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa persiapan skuad badminton negara menghadapi Sukan SEA 2027 kekal menjadi keutamaan BAM.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM240 juta bagi persiapan penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
Kerajaan turut memperuntukkan RM460 juta bagi pembangunan sukan negara, termasuk memperkasakan program sukan berprestasi tinggi dan Road to Gold (RTG), program untuk atlet para dan sukan orang pekak, serta penyelenggaraan kemudahan sukan di seluruh negara.
Anwar berkata, kerajaan turut menyediakan RM30 juta bagi GPS untuk menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan, kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
-- BERNAMA