Skip to main content

Malaysia

GP Bahrain: Tiket MADANI F1 masih tersedia, pemintaan tinggi

SEPANG, 22 O kt -- Perlumbaan Grand Prix Petronas Malaysia 2000 bermula di Litar F1 Sepang di sini hari ini. --fotoBERNAMA (DIGI) HAKCIPTA TERPELIHARA.
Tiket terhad pada harga istimewa bagi pembelian menggunakan MyKad masih tersedia untuk warganegara Malaysia yang ingin menyaksikan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Okt ini. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiket terhad pada harga istimewa bagi pembelian menggunakan MyKad masih tersedia untuk warganegara Malaysia yang ingin menyaksikan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Okt ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, SIC memaklumkan sambutan amat memberangsangkan terhadap perlumbaan itu menyebabkan laman sesawang rasmi bahraingp.com menyaksikan peningkatan trafik luar biasa, dengan tiket terjual sangat pantas.

“Kami tahu ramai yang teruja untuk mendapatkan tiket dan kami amat menghargai kesabaran serta kerjasama anda sementara proses penjualan tiket ini diteruskan.

“Kami tidak sabar untuk bertemu anda di Sepang bagi hujung minggu F1 yang luar biasa nanti,” menurut SIC. 

Menurut kenyataan itu, perkembangan terkini mengenai kersediaan tiket akan dimaklumkan melalui saluran media sosial rasmi Bahrain International Circuit dan SIC. 

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Tiket MADANI, khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi membolehkan rakyat Malaysia menyaksikan secara langsung perlumbaan Bahrain GP di SIC.

Menurut maklumat disiarkan laman di sesawang rasmi Bahrain GP baru-baru ini, pemegang MyKad layak mendapatkan tiket pada harga istimewa bagi enam kategori tempat duduk iaitu antara RM200 hingga RM 2,083. 

Harga paling berpatutan ialah Hillstand G ialah RM200, manakala tiket bagi Hillstand B dan C masing-masing berharga RM809.60.

Bagi tempat duduk di grandstand pula, tiket berharga RM1,291.40 ditawarkan bagi Grandstand F, RM1,386 (Grandstand K1) dan RM2,083.40 (Grandstand Utama).

Sementara itu, kadar harga tiket antarabangsa pula jauh lebih tinggi, dengan tiket untuk tiga hari seperti yang disenaraikan di laman sesawang itu berharga USD 565.40 bagi Grandstand Utama, USD 376.20 (Grandstand K1) dan USD 350.90 (Grandstand F), manakala tiket bagi Hillstand B dan C masing-masing USD 220. 

Grandstand Utama, K1 dan F menawarkan tempat duduk serta ruang tontonan berbumbung, manakala Hillstands B, C dan G merupakan kawasan berumput dan terbuka.

Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebelum ini mengumumkan GP Bahrain 2026 akan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Okt ini, menerusi kerjasama antara Malaysia dan Bahrain.

GP Bahrain pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada April, sebelum ditangguhkan ke bulan Oktober susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan itu digugurkan dalam kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement