KUALA LUMPUR: Kuching City FC terlepas peluang penting untuk memintas Selangor FC dalam saingan Liga Super apabila sekadar terikat 2-2 dengan DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei, malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan Kuching City kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 44 mata, dua mata di belakang pencabar utama Selangor yang kini berada di kedudukan kedua.
Advertisement
Kuching City terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Ahmad Danial Ahmad Asri yang menyudahkan umpanan tepat daripada Wanja Ronald Ngah.
DPMM bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-23 menerusi sentuhan mudah Jordan de Paula Rodrigues yang berada tepat di hadapan gol hasil situasi sepakan sudut.
Tuan rumah kemudian menambah jaringan pada minit ke-30 apabila Jordan David Murray tenang menyudahkan hantaran Muhammad Syafiq Ahmad, hasil gerakan yang dimulakan kapten pasukan, Muhammad Azwan Ali Rahman.
Ketegangan memuncak pada penghujung perlawanan apabila insiden kekasaran antara Jordan de Paula Rodrigues dan Jordan Mintah dalam kawasan penalti menyaksikan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan pelawat.
Jordan Mintah yang mengambil sepakan tersebut memastikan keputusan kekal 2-2 pada minit akhir permainan selepas menyambar bola muntah untuk menewaskan penjaga gol Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.
Sementara itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu FC (TFC) terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata apabila seri 2-2 dengan Negeri Sembilan FC (NSFC).
Tuan rumah membuka jaringan menerusi pemain import kelahiran Perancis, Yann Mabella yang melakukan larian solo pada minit ke-16.
Ia disusuli gol kedua oleh pertahanan import, Raianderson Da Costa (Careca), yang menyempurnakan hantaran lintang kemas Garvene Kastaneer pada minit ke-33.
Bersambung babak kedua, Diego Landis meledak gol ketiga TFC pada minit ke-55, namun jaringan itu dibatalkan pengadil Mohd Hasrol Mohd Amir kerana ofsaid.
NSFC kembali memberi tekanan apabila mendapat sepakan penalti selepas Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni mengasari Ariff Ar-Rasyid Ariffin. Joseph Esso tenang menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-77 untuk merapatkan kedudukan 1-2.
Esso kemudian meledak gol kedua peribadi pada minit ke-82 untuk mengikat kedudukan 2-2 selepas menerima hantaran Kyaw Min Oo.
Pada awalnya, jaringan itu dibantah pemain dan pegawai TFC yang mendakwa berlaku kekeliruan ketika situasi sebelum itu, sehingga perlawanan terhenti kira-kira lima minit.
Bagaimanapun, pengadil mengesahkan jaringan tersebut dan perlawanan berakhir dengan keputusan 2-2.
-- BERNAMA