KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan sokongan penuh terhadap permohonan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi mendapatkan peruntukan tahunan sekurang-kurangnya RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, permohonan tersebut amat bertepatan dan berasas memandangkan sukan angkat berat telah membuktikan sebagai antara prospek pingat emas yang kukuh di peringkat antarabangsa.
“Komitmen kewangan yang berterusan amat penting bagi mengekalkan momentum ini, meningkatkan kebajikan atlet serta melahirkan generasi juara pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MOM juga komited memberi sokongan terhadap pembangunan sukan angkat berat melalui pelbagai saluran termasuk memanfaatkan geran antarabangsa di bawah Program Perpaduan Olimpik, mengakses sumber pembangunan yang disediakan oleh Majlis Olimpik Asia, serta menyalurkan bantuan secara langsung melalui Tabung Amanah Majlis Olimpik Malaysia.
Baru-baru ini, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, permohonan peruntukan tahunan sekurang-kurangnya RM1 juta itu bagi memperkasakan sukan berkenaan, selain sebagai pengiktirafan dan pemacu semangat buat skuad angkat berat yang kini terbukti menjadi lubuk emas baharu Malaysia selepas mempamerkan prestasi luar biasa pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Sepanjang saingan angkat berat di Sukan Komanwel 2026 yang berlangsung dari 26 Julai hingga semalam, kem angkat berat negara meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus muncul juara keseluruhan sukan tersebut pada Glasgow 2026.
Lima emas disumbangkan Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki, Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg) dan Muhamad Syahmi Nor Ghazali (94kg).
Mohamad Norza pada masa sama mengucapkan tahniah kepada pasukan angkat berat negara dan PABM atas prestasi cemerlang pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Selain pencapaian membanggakan itu, PABM turut dianugerahkan Trofi Trafalgar yang berprestij sebagai pasukan angkat berat lelaki terbaik secara keseluruhan dalam temasya sukan empat tahun sekali itu sewaktu Mesyuarat Persekutuan Angkat Berat Komanwel di Glasgow, Jumaat lepas.
Mohamad Norza berkata, kejayaan bersejarah itu membuktikan visi, komitmen dan perancangan strategik yang jelas oleh kepimpinan PABM diterajui dengan penuh dedikasi oleh Ayub serta disokong oleh barisan pemegang jawatan, jurulatih, atlet, penaja dan rakan strategik berdedikasi.
-- BERNAMA