Skip to main content

Malaysia

Muhammad Safwan, Noshazwani dinobat Atlet Terbaik Para Sukma 2026

SHAH ALAM, 10 Sept - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua, kiri) menyampaikan Anugerah Atlet Wanitai Terbaik Para SUKMA Selangor 2026 kepada atlet para olahraga Sarawak, Noshazwani Maisara Marzuki pada majlis penutupan Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), hari ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (kanan). - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Atlet Terbaik Wanita Para SUKMA 2026 kepada Noshazwani Maisara Marzuki, malam tadi. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (kanan) dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi. - Gambar Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Perenang Selangor, Muhammad Safwan Suhaimi dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mencatat prestasi cemerlang dengan meraih enam pingat emas dan satu gangsa.

Pengiktirafan itu diumumkan pada majlis penutupan Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), di sini, malam tadi, sekali gus menggandakan kegembiraan kontinjen tuan rumah yang terdahulu diumum selaku juara keseluruhan.

Sementara itu, atlet olahraga Sarawak, Noshazwani Maisara Marzuki, 23, pula dinobatkan sebagai Atlet Para Wanita Terbaik selepas memenangi dua pingat emas dan satu perak.

Muhammad Safwan, 21, mencipta dua rekod kebangsaan menerusi acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu S9 (kecacatan fizikal) dan 200m rampaian individu SM9/SM10, selain turut memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 100m kuak lentang S9.

Beliau turut menyumbang emas dalam acara 100m kuak dada S9, 4x100m gaya bebas 34 mata – campuran dan 4x100 m rampaian 34 mata – campuran, manakala satu lagi pingat gangsa hadir menerusi acara 4x100m rampaian 34 mata – lelaki.

Mengulas pengiktirafan itu, Safwan berkata, kejayaan berkenaan merupakan hasil konsistensi dan kerja kerasnya sejak mula serius dalam sukan renang pada 2022.

“Pada Para SUKMA 2022, saya berjaya meraih satu pingat emas dan tiga perak, yang bagi saya satu pencapaian agak luar biasa. Selepas itu, saya terus berlatih dan beraksi pada Para SUKMA Sarawak 2024, dengan memenangi empat pingat emas, tiga rekod kebangsaan dan satu rekod kejohanan.

“Saya terus konsisten untuk Para SUKMA 2026. Alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Noshazwani yang dinobatkan sebagai Atlet Para Wanita Terbaik meraih emas selepas memecahkan dua rekod kejohanan dalam acara merejam lembing F37 (kecacatan fizikal) dan lontar peluru F37.

Catatan 8.93m dalam acara lontar peluru bukan sahaja memadamkan rekod lama kejohanan 7.25m, malah turut meletakkan Noshazwani dalam kelompok 10 terbaik dunia di peringkat Paralimpik.

Atlet Sarawak itu turut meraih pingat perak menerusi acara lempar cakera F37.

Kedua-dua atlet itu dipilih secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Pemilihan Atlet Terbaik Temasya Para SUKMA Selangor 2026 yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 Datuk Mohd Yazid Sairi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement