KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Christopher Raj berpendapat, individu yang mempunyai “rekod buruk” di peringkat negeri atau kelab hanya akan menjadi liabiliti jika dipilih menganggotai barisan kepimpinan badan induk itu pada 17 Sept ini bagi baki penggal 2025-2029.
Beliau berkata, FAM diibaratkan sebagai sebuah kapal yang sudah sedia sukar dan tidak perlu terus dibebankan atau dikeruhkan, malah badan induk itu juga bukan tempat untuk mencari glamor, populariti atau sebagainya.
Christopher berkata, calon yang gagal menyelesaikan masalah asas seperti tunggakan gaji serta caruman tidak sepatutnya menawarkan diri untuk bertanding di peringkat kebangsaan kerana ia hanya akan memudaratkan organisasi.
“Saya katakan, mereka akan menjadi liabiliti kepada persatuan kebangsaan. Mengapa? Kerana apabila anda tidak berfungsi sepenuhnya di negeri atau kelab dan membawa diri ke persatuan kebangsaan, ia akan lebih memudaratkan keadaan presiden itu sendiri.
“Jadi, kalau saya tahu saya ada masalah di negeri dan kelab sendiri dan saya tak ada kemampuan untuk membawa diri ke sana, saya tidak akan bertanding,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “FAM: Menanti Kepimpinan Baharu, Menuntut Perubahan” pada malam Selasa.
Beliau berkata, pemilihan Kongres FAM kali ini amat kritikal memandangkan nakhoda dan kru yang bakal dipilih nanti perlu mempunyai kemampuan untuk membawa bola sepak negara keluar daripada “kegelapan”.
Christopher berkata, keputusan mutlak kini terletak di tangan para perwakilan untuk memastikan kapal FAM tidak terus karam dengan pilihan kepimpinan yang salah.
“Kalau mereka merasakan bahawa mereka boleh menjaga negeri, boleh menjaga kelab dan boleh menjaga FAM, silakan tetapi keputusan itu terletak di tangan para perwakilan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap berkata, kepimpinan baharu perlu mempunyai objektif yang sangat jelas sama ada mahu memfokuskan kepada prestasi skuad kebangsaan, tadbir urus atau pembangunan akar umbi kerana peminat menuntut perubahan segera.
“Naratif yang dimainkan oleh peminat bola sepak Malaysia sentiasa tidak mahu tunggu lama lagi. Mereka mahu perubahan itu dilihat dengan kadar segera,” katanya.
Norismadi ketika menyentuh mengenai persaingan kerusi Presiden antara Datuk Ab Ghani Hassan dan Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, beliau menjangkakan pertembungan sengit kerana kedua-dua calon memiliki kekuatan berbeza daripada latar belakang pentadbiran dan korporat.
Beliau turut mengingatkan para perwakilan bahawa mereka memikul tugas yang sangat berat kerana keputusan pengundian itu nanti akan menentukan imej dan hala tuju FAM selepas melalui fasa siasatan FIFA dan AFC.
“Orang yang memegang pen untuk melakukan proses pengundian itu nanti perlu berfikiran jauh untuk menentukan siapakah yang berhak menerajui FAM keluar daripada situasi sekarang,” katanya.
-- BERNAMA