KUALA LUMPUR: Penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun ini wajar dijadikan medan ujian sebelum Malaysia membuat keputusan untuk kembali menganjurkan Formula 1 secara jangka panjang.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali berkata, walaupun Malaysia hanya menjadi lokasi gantian bagi perlumbaan itu musim ini, penganjuran berkenaan merupakan peluang keemasan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
"Saya rasa ini satu peluang keemasan walaupun hanya untuk satu tahun. Sekurang-kurangnya ia menjadi ujian untuk melihat sejauh mana Malaysia masih mahukan Formula 1 kembali ke Sepang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Beliau turut menggalakkan peminat yang belum pernah menyaksikan perlumbaan Formula 1 secara langsung supaya memanfaatkan peluang tersebut kerana tiada jaminan perlumbaan itu akan diteruskan di Malaysia pada masa depan.
"Ini masa terbaik untuk membeli tiket kerana kita tidak tahu sama ada akan ada kesinambungan tahun depan atau bagi tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Razlan berpendapat kos penganjuran perlumbaan tahun ini dipercayai tidak setinggi penganjuran Formula 1 seperti biasa kerana Malaysia hanya bertindak sebagai lokasi gantian bagi Bahrain.
Beliau berkata, keadaan itu memberi ruang kepada pihak penganjur dan kerajaan untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang berkenaan serta memperoleh nilai terbaik daripada penganjuran kali ini.
"Saya percaya kosnya tidaklah setinggi yang sepatutnya. Jika pihak yang terlibat bijak, mereka boleh memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin untuk penganjuran tahun ini," katanya.
Razlan berkata, dari sudut operasi, SIC tidak berdepan cabaran besar kerana masih mempunyai tenaga kerja yang berpengalaman mengendalikan perlumbaan Formula 1 sebelum ini.
Menurut beliau, pengalaman menganjurkan Formula 1 dan MotoGP secara serentak sebelum ini menjadi kelebihan kerana tidak banyak perbezaan dari segi pengurusan kedua-dua perlumbaan.
"Kalau tidak silap saya, masih ada lagi pasukan di Sepang yang mempunyai pengalaman mengendalikan Formula 1. Sebenarnya tidak banyak beza antara Formula 1 dan MotoGP," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata cabaran terbesar ketika ini ialah tempoh promosi yang singkat memandangkan perlumbaan itu dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober depan.
"Kita hanya mempunyai kira-kira sebulan untuk mempromosikan perlumbaan ini. Kita juga perlu melihat syarat-syarat yang ditetapkan Liberty Media dan pendekatan yang akan diambil SIC untuk mempromosikan acara ini," katanya.
Razlan bagaimanapun yakin sambutan peminat tidak akan menjadi masalah kerana Formula 1 masih mempunyai kelompok penyokong yang besar di Malaysia.
"Saya rasa cabaran nombor satu sekarang bukan mengendalikan perlumbaan, tetapi aspek pemasaran. Namun saya percaya rakyat Malaysia sudah lama 'ketagih' kepulangan Formula 1 ke Sepang. Walaupun hanya untuk sekali sahaja, saya rasa ia tidak akan menjadi masalah besar," katanya.
Bagaimanapun, Razlan berkata kejayaan penganjuran tahun ini wajar dinilai terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai hala tuju Malaysia sebagai tuan rumah Formula 1 pada masa hadapan.
"Kita lihat dahulu bagaimana tahun ini berjalan. Soal penganjuran tahun depan boleh difikirkan kemudian," katanya.
Malaysia menjadi lokasi gantian bagi Bahrain Grand Prix musim ini selepas perlumbaan itu dipindahkan ke Sepang susulan konflik yang berlarutan di Asia Barat.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.
Anwar berkata, kerjasama itu mencerminkan kepercayaan Bahrain terhadap keupayaan Malaysia menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf dunia.
"Malaysia bersedia mengalu-alukan Formula 1, FIA, pasukan-pasukan bertanding dan peminat dari seluruh dunia ke Sepang.
“Di samping terus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain menerusi penganjuran istimewa ini," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebagai rekod, pada Ogos tahun lalu, Hannah Yeoh, yang ketika itu menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan, memaklumkan kerajaan tidak bercadang membawa semula Formula 1 ke Malaysia berikutan kos hak penganjuran yang tinggi serta jadual perlumbaan dunia yang padat.
Menurut beliau, penganjuran Formula 1 memerlukan komitmen sekitar RM300 juta setahun bagi tempoh tiga hingga lima tahun untuk membayar yuran hak penganjuran kepada Liberty Media, selain kos penyediaan litar dan operasi perlumbaan.
Malaysia menganjurkan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak penganjurannya.
Sementara itu, peminat Formula 1 di Malaysia boleh mengikuti aksi perlumbaan musim ini menerusi saluran beIN SPORTS yang tersedia di platform Astro.