PUTRAJAYA: Persiapan penganjuran perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan depan kini mencapai 80 peratus, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau berkata ketika ini kerja pembaikan dan menaik taraf SIC yang dilakukan sejak Isnin lepas mengikut garis masa yang ditetapkan supaya penganjuran acara itu dilaksanakan dengan baik serta memuaskan.
“Setakat ini, persiapan penganjuran sudah 80 peratus dan pasukan sukarelawan yang kami rekrut, iaitu 500 orang, sedang dikenal pasti dan diberikan latihan.
“Ini supaya mereka lebih bersedia untuk menghadapi penganjuran F1 kali ini dan SIC telah ditutup kepada orang ramai kerana kami sedang menaik taraf fasiliti,” katanya selepas KBS Tower Run bersama juara dunia larian menara Soh Wai Ching di sini hari ini.
Dr Mohammed Taufiq berkata setakat ini beliau berpuas hati kerana kerja penambahbaikan mengikut garis masa yang ditetapkan serta mematuhi keperluan Formula One Management dan Persekutuan Automobil Antarabangsa.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata semua kementerian dan agensi berkaitan diminta mempercepat serta memudah cara urusan dan kelulusan yang masih tertangguh menjelang F1 kali ini.
Malaysia kembali menganjurkan acara F1 di SIC selepas sembilan tahun menerusi penganjuran GP Bahrain dari 2 hingga 4 Okt ini.
SIC sebelum ini menjadi lokasi GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.
Kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Malaysia adalah hasil kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al-Khalifa.
-- BERNAMA