KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Rakyat Pahang merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 bakal melabuhkan tirai dengan perlawanan akhir dan majlis penutupan di Stadium Darul Makmur Ahad ini.
Acara kemuncak pada 13 September itu bakal menentukan juara sulung Piala Al-Sultan Abdullah selepas saingan yang berlangsung sejak Jun lalu membabitkan 105 pasukan dari seluruh daerah di Pahang.
Dalam satu kenyataan penganjur, program pada hari berkenaan akan bermula seawal jam 4 petang dengan pelbagai aktiviti disediakan sebelum berlangsungnya aksi kemuncak kejohanan.
"Penganjuran liga berkenaan bukan sahaja bertujuan mencungkil dan mengetengahkan bakat baharu bola sepak di peringkat akar umbi, malah menjadi platform menyatukan komuniti menerusi sukan.
"Ia turut dilihat mampu merancakkan aktiviti masyarakat dan ekonomi setempat menerusi penganjuran pertandingan yang menghimpunkan pasukan serta penyokong dari seluruh Pahang.
"Bagi memeriahkan acara penutup, penganjur turut membawakan persembahan barisan artis dan pemuzik tanah air termasuk Azlan & Typewriter, Tam Spider, Ara Johari, Baggio Damasutra, Kid yang juga gitaris Search serta Arghpiez," jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan ity lagi, selain aksi bola sepak dan persembahan pentas, orang ramai yang hadir berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah.
"Hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah Proton Saga, selain dua motosikal, tiga telefon bimbit serta 200 biji bola.
"Kemasukan ke Stadium Darul Makmur adalah percuma dan orang ramai khususnya peminat bola sepak Pahang dijemput hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir serta menjadi sebahagian daripada kemuncak kejohanan berkenaan," jelas kenyataan itu.
Liga Bola Sepak Rakyat Pahang merebut Piala Al-Sultan Abdullah diperkenalkan sebagai platform pembangunan bola sepak akar umbi dengan memberi ruang kepada bakat tempatan untuk bersaing dalam kejohanan yang melibatkan penyertaan dari seluruh negeri.
Maklumat lanjut mengenai kejohanan boleh diperoleh menerusi saluran media sosial rasmi Liga Pahang First di Facebook, Instagram, TikTok dan Threads menerusi akaun @ligapahangfirst.