KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara perlu terlebih dahulu muncul juara kumpulan sebelum mengintai peluang memburu tiket ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadual berlangsung dari 18 Sept hingga 4 Okt ini.
Ketua Jurulatih Speedy Tigers Brendon Carolan berkata kehadiran dua pencabar utama, Pakistan dan China, dalam Kumpulan B menuntut barisan negara memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap setiap perlawanan tanpa terlalu awal memikirkan aksi kemuncak.
“Ya, saya rasa keutamaan pertama kami adalah untuk menamatkan saingan di kedudukan teratas kumpulan. Jadi, kami perlu memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Pakistan dan kemudian China kerana dua aksi itu menjadi penentu dalam usaha kami muncul juara kumpulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai persiapan Sukan Asia oleh pengurus pasukan negara Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak di sini hari ini, yang turut disertai Ketua Jurulatih skuad wanita negara CR Kumar.
Speedy Tigers diundi bersama Uzbekistan, Oman, Thailand, Pakistan dan China dalam Kumpulan B dan akan membuka kempen menentang Uzbekistan pada 20 Sept, diikuti Oman (22 Sept), Thailand (24 Sept), Pakistan (26 Sept) dan China (28 Sept).
Kumpulan A pula dibarisi juara bertahan India, Jepun, Korea Selatan, Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia, dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Sementara itu, Ahmad Najmi berkata skuad wanita negara, Malaysian Tigress, disasarkan sekurang-kurangnya memburu tiket ke separuh akhir pada temasya berkenaan.
Malaysian Tigress diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan China, naib juara Korea Selatan, Kazakhstan, Taiwan dan Bangladesh, manakala Kumpulan B terdiri daripada India, Jepun, Thailand, Singapura, Indonesia dan Uzbekistan.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Kumar berkata pasukannya perlu menewaskan sekurang-kurangnya satu daripada dua pasukan pilihan, China atau Korea Selatan, bagi merealisasikan sasaran berkenaan.
Skuad wanita negara akan membuka kempen menentang Kazakhstan pada 18 Sept, diikuti Bangladesh (21 Sept), China (23 Sept), Taiwan (25 Sept) dan Korea Selatan (27 Sept).
-- BERNAMA