KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan kemungkinan terbentuknya kerjasama politik baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan pihak yang berpotensi menjalin kerjasama itu, sebaliknya menegaskan pelbagai kemungkinan masih boleh berlaku dalam landskap politik semasa.
Ahmad Samsuri menyifatkan pihak yang sudah bersama PN sebagai “sahabat”, manakala pihak lain yang berpotensi bekerjasama sebagai “rakan”.
“Yang saya gelarkan rakan-rakan dalam Muafakat Nasional (MN), dalam Perikatan Nasional (PN), sebagai sahabat-sahabat dan potensi yang sebelah lagi, yang boleh kita katakan sebagai rakan-rakan ini.
"Untuk sama-sama membawa Melaka ke hadapan dalam suatu bentuk baharu kerjasama yang belum kita tahu penghujungnya lagi. Pelbagai perkara boleh berlaku dalam suasana politik,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal PAS Negeri Melaka di Ayer Keroh, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyeru seluruh kepimpinan dan jentera PAS serta PN Melaka supaya segera memperkukuh persiapan menghadapi pilihan raya.
Malah, beliau memberi bayangan pilihan raya berkenaan mungkin berlangsung dalam tempoh maksimum 60 hari, namun enggan menjelaskan sebab di sebalik jangkaan tersebut.
“Ada sebab kenapa saya sebut dua bulan, tetapi saya tidak mahu jelaskan di sini. Katakan kita letakkan tempoh maksimum 60 hari, jangan lihat 60 hari ini sebagai satu tempoh yang panjang,” katanya lagi.
Ahmad Samsuri turut menegaskan PN perlu dilihat sebagai pasukan yang bersedia mentadbir Melaka dengan mengetengahkan calon berwibawa, berintegriti dan mampu bekerja sebagai satu pasukan.
Menurutnya, rakyat mahu melihat penyelesaian yang ditawarkan bagi menangani masalah mereka, bukan sekadar retorik, laungan atau slogan politik.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengesahkan rundingan kerjasama antara PN dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka telah dimulakan sejak tiga hari lalu.
Abdul Hadi berkata, perbincangan berkenaan membabitkan wakil pimpinan pusat yang dilantik daripada kedua-dua parti.
Katanya, walaupun rundingan itu masih di peringkat awal, perkembangan setakat ini menunjukkan tanda positif.