SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kagum dan bangga atas kejayaan berganda kontinjen Selangor yang muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026.
Baginda bertitah pencapaian bersejarah itu mencerminkan semangat juang tinggi, disiplin, ketekunan serta komitmen luar biasa para atlet dalam mengangkat martabat sukan negeri.
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh kontinjen negeri atas pencapaian membanggakan itu.
“Sultan Selangor turut mendoakan agar para atlet Selangor terus mencipta lebih banyak kejayaan dan mengharumkan nama negeri serta Malaysia pada masa hadapan,” titah baginda menerusi hantaran di Instagram Selangor Royal Office hari ini.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih, pengurus pasukan, keluarga atlet serta semua pihak yang memainkan peranan penting dan memberikan sokongan berterusan dalam memastikan kejayaan kontinjen negeri.
“Baginda berharap agar semua atlet dan jurulatih tidak mudah berpuas hati, sebaliknya terus berusaha meningkatkan prestasi serta berjuang untuk melangkah ke peringkat yang lebih tinggi, termasuk di pentas kebangsaan dan antarabangsa,” menurut hantaran itu.
Pada SUKMA 2026, kontinjen Selangor mengesahkan kejuaraan keseluruhan selepas meraih 101 pingat emas daripada keseluruhan 245 pingat yang dikumpul.
Momentum kecemerlangan itu diteruskan kontinjen Para SUKMA Selangor yang turut muncul juara keseluruhan dengan meraih 93 pingat emas daripada 200 pingat yang dimenangi.
-- BERNAMA