Skip to main content

Malaysia

Wolff yakin Antonelli mampu bergelar juara dunia F1

Wolff berkata usaha membangunkan bakat muda memerlukan organisasi menyediakan peluang dan kepercayaan kepada mereka, di samping mengekalkan individu berpengalaman yang mampu membimbing generasi seterusnya. --Gambar fail/BERNAMA
Wolff berkata usaha membangunkan bakat muda memerlukan organisasi menyediakan peluang dan kepercayaan kepada mereka, di samping mengekalkan individu berpengalaman yang mampu membimbing generasi seterusnya. --Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

SINGAPURA: Prinsipal pasukan dan Ketua Pegawai Eksekutif pasukan Formula Satu (F1) Mercedes-AMG Petronas Toto Wolff mengulangi keyakinannya terhadap kemampuan Kimi Antonelli sambil berkata pasukan itu sememangnya menjangkakan akan berdepan detik cemerlang dan kegagalan sebagai sebahagian daripada proses pembangunan pelumba Itali berkenaan.

Antonelli, 20, berjaya meletakkan diri sebagai antara pencabar utama kejuaraan dunia musim 2026 selepas memenangi lapan daripada 16 perlumbaan musim ini, sekali gus melebarkan jurang kepada 84 mata mengatasi rakan sepasukan, George Russell menjelang Grand Prix (GP) Singapura hujung minggu ini.

Wolff berkata Mercedes telah menjangkakan Antonelli akan melalui tempoh prestasi yang cemerlang di samping akan ada ketikanya perlu berdepan detik sukar, tetapi pasukan itu kekal komited untuk membangunkan bakat muda berkenaan untuk jangka panjang.

Beliau berkata pasukan itu telah mengenal pasti potensi Antonelli ketika pelumba berkenaan baru berusia 11 tahun dan sejak itu terus menyokong perkembangannya, baik sebagai seorang pelumba mahupun sebagai individu.

“Kami membantu perkembangannya sebagai pelumba, selain membentuk keperibadiannya dan menjadikannya seperti yang kita lihat hari ini. Namun, perjalanan itu bukanlah tanpa cabaran. Tahun lepas, dia melalui sembilan perlumbaan berturut-turut tanpa meraih sebarang mata. Jika pasukan lain, keadaan sedemikian mungkin menyebabkan dia terpaksa meninggalkan pasukan.

"Namun bagi kami, kami tahu perkara itu akan berlaku. Memang sudah dijangkakan akan ada masanya kita meraikan kegembiraan dan ada masa sebaliknya kerana kegagalan adalah sebahagian daripada kehidupan dan ia sesuatu yang perlu," katanya semasa sesi perbincangan santai anjuran Signify di sini pada Khamis.

Wolff berkata usaha membangunkan bakat muda memerlukan organisasi menyediakan peluang dan kepercayaan kepada mereka, di samping mengekalkan individu berpengalaman yang mampu membimbing generasi seterusnya.

Berdasarkan pengalaman sendiri, beliau mengimbas kembali ketika dinafikan peluang untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar di sebuah syarikat keluli perindustrian ketika berusia 22 tahun, meskipun beliau merupakan satu-satunya jurujual yang masih kekal di sebuah bahagian yang pada asalnya mempunyai kira-kira 30 orang pekerja.

Beliau berkata kekurangan peluang dan kepercayaan yang diberikan amat mengecewakan dan akhirnya mendorongnya meninggalkan syarikat itu.

“Saya sememangnya menyokong kemunculan bakat-bakat muda. Kimi merupakan contoh yang baik. Begitu juga George,” katanya.

Sementara itu, ditanya bagaimana Mercedes akan mengekalkan motivasi Antonelli selepas pencapaian yang diraihnya, Wolff berkata pelumba muda itu sentiasa bertekad untuk memburu gelaran paling berprestij dalam F1, iaitu kejuaraan dunia.

“Dari segi keghairahan untuk menang, dia memang sangat bersemangat. Anda tahu, apakah yang telah dicapainya? Beliau telah memenangi beberapa GP dan pencapaian itu cukup baik. Ia meletakkannya sebaris dengan ramai lagi pelumba hebat lain.

"Namun, memenangi kejuaraan dunia sememangnya menjadi matlamat utama seorang pelumba. Apabila anda sudah menang, sudah tentu anda mahu mengulanginya. Saya berpendapat bahawa satu perkara yang tidak kurang padanya ialah keghairahan untuk menang," kata Wolff.

Mengulas mengenai persaingan antara Antonelli dan Russell, Wolff berkata kedua-dua pelumba itu kekal bermotivasi tinggi untuk memenangi kejuaraan dunia, meskipun Russell berdepan masalah dengan jentera dan keupayaan mekanikal sepanjang musim ini.

“Situasi George agak menarik kerana beliau, sama seperti Kimi, cukup bermotivasi dan bersemangat untuk memenangi kejuaraan. Pada musim ini, perkara itu seakan tidak memihaknya kerana terdapat beberapa perlumbaan yang menyaksikan dia kurang berpuas hati dengan jenteranya, selain beberapa perlumbaan yang menyaksikan kami mengecewakannya.

“Kimi memang ada keputusan DNF (gagal menamatkan perlumbaan), tetapi George mencatat lebih banyak DNF berbandingnya,” katanya.

Russell dijangka memulakan perlumbaan dari petak belakang di Singapura pada Ahad selepas mengalami kegagalan unit kuasa ketika GP Bahrain di Malaysia pada hujung minggu lepas, yang menyebabkannya dikenakan hukuman penalti.

Wolff mengakui usaha memaksimumkan batas teknologi membawa risiko berlakunya kegagalan mekanikal, namun beliau percaya bahawa mengatasi cabaran sedemikian akan menjadikan Russell lebih kuat dalam jangka sederhana hingga jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement