KUALA LUMPUR: Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan mahu membawa pendekatan yang lebih terbuka, profesional dan berteraskan kerjasama sekiranya diberi mandat untuk menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ab Ghani berkata pencalonannya bukan semata-mata untuk mengejar jawatan, sebaliknya sebagai satu amanah untuk membantu memperkukuh landskap bola sepak negara.
Beliau berkata masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, khususnya dalam aspek tadbir urus, pembangunan bola sepak, pengurusan pertandingan serta memastikan kepentingan semua pihak dalam ekosistem sukan itu terus terpelihara.
“Jika diberi kepercayaan, saya mahu membawa pendekatan yang lebih terbuka, profesional dan berteraskan kerjasama. Kita perlu duduk bersama, mendengar pandangan semua pihak dan mencari penyelesaian terbaik untuk masa depan bola sepak negara.
“Buat masa ini, saya tidak mahu bercakap terlalu jauh mengenai apa yang akan dilakukan. Saya mahu menghormati proses pemilihan terlebih dahulu dan memberi ruang kepada ahli gabungan untuk membuat penilaian serta keputusan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
FAM hari ini mengumumkan senarai 23 calon yang disahkan bertanding dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029, yang akan berlangsung sempena Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 pada 17 Sept ini.
Ab Ghani akan berdepan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, dalam saingan dua penjuru bagi merebut jawatan presiden.
Selain jawatan presiden, tumpuan turut terarah kepada persaingan bagi jawatan Naib Presiden 1 dan 3 serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi kategori persatuan bola sepak negeri (FA) dan kelab (FC).
-- BERNAMA