Skip to main content
Advertisement

Sukan

Aliff Rakib hadiah rumah RM1 juta kepada ibu bapa

Aliff Rakib diraikan lebih 2,000 rakyat Kelantan pada Majlis Sambutan Wira Kelantan di Lembah Sireh, Kota Bharu pada Sabtu.
Aliff Rakib diraikan lebih 2,000 rakyat Kelantan pada Majlis Sambutan Wira Kelantan di Lembah Sireh, Kota Bharu pada Sabtu. - Foto: Sinar Harian
Advertisement

KOTA BHARU: Tidak sampai sebulan selepas melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama bergelar juara dunia ONE Championship, jaguh Muay Thai negara Ahmad Nor Iman Aliff Rakib menghadiahkan sebuah rumah banglo bernilai RM1 juta kepada ibu bapanya.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata rumah tersebut, yang terletak di Rantau Panjang, telah siap dan boleh didiami sekali gus menjadi tanda penghargaan atas segala pengorbanan serta sokongan ibu bapanya, Rakib Ahmad, 52, dan Suriawati Che Wook, 46.

“Hasrat saya ialah untuk membanggakan mereka… selain membawa mereka pergi umrah, sekarang saya dapat beli rumah untuk mereka.

“Rumah ini dibeli menggunakan wang simpanan hasil kerjaya saya sebagai atlet Muay Thai,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Wira Negara di sini hari ini.

Beliau juga berkata kejayaan menewaskan legenda Thailand Sam-A Gaiyanghadao menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima di Stadium Lumpinee, Bangkok Julai lepas menjadi pencapaian terbesar dalam kariernya setakat ini.

Kejayaan itu menyaksikan atlet yang lebih mesra disapa sebagai Aliff merangkul tali pinggang Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai selain menjadi rakyat Malaysia pertama merangkul gelaran berkenaan dalam ONE Championship.

Beliau berkata pencapaian itu hadir selepas bertahun-tahun menjalani latihan dan membina karier profesional di Bangkok termasuk memperoleh kontrak bernilai AS$100,000 (RM408,996) yang membuka lebih banyak peluang di pentas antarabangsa.

Mengulas perancangan seterusnya, Aliff menyasarkan untuk menyatukan gelaran dengan mencabar juara dunia mutlak strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai, dalam pertarungan yang disifatkan beliau sebagai cabaran besar dalam kariernya.

“Insya-Allah, kita boleh bawa balik tali pinggang itu satu lagi... kalau ada rezeki, saya juga berharap pertarungan seterusnya dapat diadakan di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement