NIBONG TEBAL: Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Seri Fadhlina Sidek menziarahi dua keluarga yang terjejas dalam kejadian kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Baru Sungai Kechil, di sini awal pagi tadi.
"Syukur, tiada nyawa yang terkorban dan tiada penghuni yang mengalami kecederaan dalam kejadian kebakaran yang menjejaskan dua buah rumah di Kampung Baru Sungai Kechil, Nibong Tebal awal pagi tadi.
"Saya berkesempatan menziarahi keluarga yang terlibat untuk bertanya khabar dan melihat sendiri keadaan mereka selepas kejadian tersebut," katanya dalam hantaran Facebook rasminya.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata beliau turut menyampaikan bantuan tunai segera bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan.
Beliau berharap keluarga yang terjejas diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian berkenaan.
-- BERNAMA