Skip to main content
Advertisement

Sukan

Bergson anggap panggilan sertai Harimau Malaya impian jadi kenyataan

Stadium Astro
Bergson berkata beliau melihat tanggungjawab mengetuai jentera serangan skuad Harimau Malaya sebagai satu tanggungjawab besar dan bukannya tekanan. - StadiumAstro
Advertisement

PETALING JAYA: Penyerang naturalisasi Bergson da Silva menyifatkan panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan pada Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia dari 25 Sept hingga 5 Okt sebagai impian yang menjadi kenyataan selepas lebih lima tahun beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Penyerang kelahiran Brazil itu berkata beliau tidak pernah menjangka mendapat peluang untuk mewakili Malaysia, sekali gus menjadikan penampilan dalam skuad kebangsaan satu detik istimewa buat diri, keluarga serta semua pihak yang menyokong perjalanan kariernya selama ini.

“Menyarung jersi ini dan mewakili negara adalah satu penghormatan buat kami semua. Kami berada di sini untuk memberikan yang terbaik dan saya adalah antara mereka,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Hotel Hilton di sini hari ini.

Bergson, antara penjaring terbanyak Liga Malaysia sejak menyertai JDT berkata beliau melihat tanggungjawab mengetuai jentera serangan skuad Harimau Malaya sebagai satu tanggungjawab besar dan bukannya tekanan kerana beliau sentiasa bertekad untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang menyumbang kepada pasukan.

“Setiap langkah yang kita ambil dalam kehidupan mempunyai sasaran. Jadi berada di sini adalah satu lagi tanggungjawab besar buat saya. Saya sentiasa mahu memakai jersi ini dan bersama pasukan. Jadi, saya hanya mahu menikmatinya dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Menjelang pertemuan antara Malaysia dan Indonesia, Bergson menjangkakan perlawanan sengit berdasarkan persaingan antara kedua-dua pasukan serta impian masing-masing untuk meraih kemenangan.

Beliau berkata skuad kebangsaan akan mengkaji lawan mereka secara menyeluruh sambil menyatakan keyakinan terhadap kemampuan pasukan menghasilkan keputusan positif.

Bergson ketika mengulas mengenai Piala ASEAN FIFA 2026 menyifatkan kejohanan itu sebagai pengalaman baharu yang berharga buat pasukan kebangsaan.

“Saya fikir ia akan menjadi pengalaman yang baik buat kami sebagai satu pasukan dan kumpulan tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk membawa pulang trofi itu ke Malaysia,” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Jakarta esok untuk beraksi dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 selepas diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh.

Kumpulan B pula merangkumi Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.

Malaysia, yang berada pada kedudukan ke-136 dunia akan memulakan kempen menentang Bangladesh yang menduduki ranking ke-181 di Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jumaat.

Skuad kebangsaan kemudian akan bertemu Indonesia yang berada di kedudukan ke-118 dunia di lokasi yang sama pada 28 Sept, sebelum mengakhiri kempen Kumpulan A berdepan Singapura, ranking ke-148 dunia di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Okt.

Mengikut format kejohanan, juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu dalam perlawanan akhir di Gelora Bung Karno pada malam 5 Okt manakala naib juara kedua-dua kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di lokasi sama pada sebelah siang, hari yang sama.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement