Skip to main content

Sukan

Cheng Hoe puji semangat juang Harimau Malaya

81701569217_TanChengHoeTanChe.jpg
Cheng Hoe berkata permulaan cemerlang itu bukan sahaja menyuntik keyakinan, malah membuktikan perkembangan positif yang dicapai pasukan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih sementara skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe memuji semangat juang dan keazaman tinggi dipamerkan anak buahnya selepas bangkit menewaskan Myanmar 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.

Beliau berkata permulaan cemerlang itu bukan sahaja menyuntik keyakinan, malah membuktikan perkembangan positif yang dicapai pasukan meskipun beberapa pemain baharu sahaja kembali menjalani latihan pramusim dan skuad itu masih dalam proses membina kecergasan, keserasian serta persefahaman.

"Sudah tentu keputusan ini memberi keyakinan kepada saya. Kami tahu masih terdapat beberapa kelemahan dan kami masih dalam proses membentuk karakter pasukan.

"Kami sentiasa memberi tumpuan kepada satu perlawanan pada satu masa. Saya berharap dalam satu atau dua perlawanan lagi, kami akan lebih bersedia dari segi kerja berpasukan, persefahaman dan keserasian," katanya menerusi rakaman audio yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut memuji kapten Harimau Malaya Paulo Josue atas kepimpinannya, sambil menyifatkan penyerang naturalisasi negara itu memainkan peranan penting membimbing pasukan yang dibarisi gabungan pemain muda dan berpengalaman.

"Keharmonian dan suasana kerja dalam pasukan memberi keyakinan kepada kami bahawa kami mampu melangkah lebih jauh," katanya.

Sementara itu, Josue yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas meledak dua gol ketika menentang Myanmar, meluahkan rasa bangga terhadap usaha yang dipamerkan rakan sepasukannya selepas berjaya meraih tiga mata penuh.

"Saya gembira dan bangga dengan semua pemain. Selepas hanya 10 hari bersama, bukan mudah untuk memahami sepenuhnya apa yang dimahukan jurulatih daripada kami," katanya.

Selepas ini, skuad kebangsaan akan berdepan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Selasa ini, sebelum menentang Thailand di Bangkok pada 1 Ogos.

Mereka akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 8 Ogos.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement