ISTANBUL: Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (Concacaf) bersama 41 persatuan anggotanya pada Khamis menolak cadangan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjual kepentingan dalam kejohanan Piala Dunia kepada pelabur swasta berikutan kebimbangan serius mengenai tadbir urus dan ketelusan, lapor Anadolu Ajansi.
Penolakan itu dilihat boleh menggagalkan rancangan berkenaan.
“Persatuan anggota menyuarakan kebimbangan mengenai ketiadaan proses sewajarnya dalam mengemukakan cadangan itu, tempoh terlalu singkat yang ditetapkan serta kegagalan mendapatkan semakan atau kelulusan badan tadbir urus FIFA berkaitan,” menurut Concacaf selepas mesyuarat peringkat tinggi.
Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan penubuhan "FIFA Forward Enterprise", inisiatif yang dikemukakan Presiden FIFA Gianni Infantino untuk menarik pelaburan ekuiti swasta bagi membiayai program pembangunan bola sepak.
Bagaimanapun, persatuan anggota mempersoalkan keperluan mendapatkan pelaburan sedemikian selepas kejohanan pada musim panas ini dilaporkan mencatatkan keuntungan tertinggi dalam sejarah Piala Dunia.
Sebaliknya, Concacaf mengarahkan wakilnya supaya berbincang dengan FIFA mengenai penggunaan “rizab kewangan yang besar” badan induk itu untuk meningkatkan pembiayaan pembangunan bola sepak di rantau berkenaan.
Konfederasi itu menegaskan bahawa sebarang perubahan dasar penting perlu dilaksanakan mengikut proses berkanun yang sewajarnya dan bukan dengan mengetepikan mekanisme pengawasan sedia ada.
“Sejarah telah menunjukkan kepada FIFA dan komuniti bola sepak akibat yang berlaku apabila pihak yang diamanahkan menjaga sukan ini mengabaikan nilai-nilai berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Concacaf turut menegaskan bahawa masa depan sukan itu perlu terus diterajui oleh komuniti bola sepak dan bukannya diserahkan kepada entiti kewangan luar.
Penolakan berkenaan menyusuli ikrar kesemua 55 persatuan anggota Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) untuk menyokong pemulauan pertandingan FIFA sekiranya badan induk itu meneruskan rancangan menjual pegangan dalam kejohanannya kepada pelabur swasta.
Infantino bagaimanapun mempertahankan rancangan itu dengan menyifatkannya sebagai “peluang keemasan” untuk mempercepat pembangunan bola sepak di seluruh dunia.
Beliau berkata rancangan berkenaan dapat membuka potensi nilai komersial bola sepak dunia yang sebelum ini belum dimanfaatkan.
-- BERNAMA-ANADOLU