Skip to main content

Sukan

Danish Iftikhar buru hatrik emas Sukma 2026

61746363134_DanishIftikharMuha.jpg
Atlet Johor berusia 19 tahun yang juga pemegang rekod kebangsaan 200m itu menjadi antara tumpuan utama olahraga selepas mengungguli saingan 100m lelaki semalam. - Gambar fail
Advertisement

SHAH ALAM: Pelari pecut negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee berpeluang melengkapkan hatrik emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila turun beraksi dalam acara 200 meter (m) lelaki esok.

Atlet Johor berusia 19 tahun yang juga pemegang rekod kebangsaan 200m itu menjadi antara tumpuan utama olahraga selepas mengungguli saingan 100m lelaki semalam sebelum membantu kuartet 4x100m negeri itu meraih emas serta memperbaharui rekod temasya hari ini.

Tumpuan turut terarah kepada acara 200m wanita apabila juara 100m, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira kembali ke trek dalam misi memburu emas kedua pada SUKMA 2026.

Kejayaan Danish dan Izzatul Musfirah dalam acara pecut sebelum ini menjadikan saingan 200m lelaki dan wanita antara acara yang dinanti-nantikan esok.

Sementara itu, beberapa rekod temasya turut diperbaharui hari ini dengan olahraga menyaksikan dua rekod baharu dicipta menerusi kuartet 4x100m lelaki Johor dan atlet rejam lembing lelaki Chai Kai Le.

Aksi di lapangan memanah tidak kurang mencuri tumpuan apabila dua rekod temasya diperbaharui dalam acara compound 50m lelaki dan wanita, masing-masing menerusi atlet Terengganu Muhammad Akmal Danial Baharuddin dan wakil Sabah Catherine Looi Mei Qi Abdullah.

Dalam sukan menembak, atlet Perak Nazirul Iqbal Roszaini turut mencipta rekod temasya baharu selepas tampil cemerlang dalam acara 10m air rifle lelaki di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang.

Setakat 10 malam ini, Selangor kekal menerajui carta pingat dengan 14 emas, 15 perak dan sembilan gangsa, diikuti Terengganu dengan 13 emas, 20 perak dan tujuh gangsa, manakala Johor di kedudukan ketiga dengan 11 emas, 12 perak dan 10 gangsa.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement