Skip to main content

Sukan

Dari Hulu Selangor ke pentas dunia: Kisah juara dunia Muay Thai berusia 12 tahun

Zahirul Haq_FB SJKC Bukit Tangga
Perjalanan Zahirul Haq dalam dunia seni bela diri bermula di Hypermax Taekwondo Club, di mana dia membina asas teknik, kecergasan dan keyakinan diri. -Foto FB SJKC Bukit Tangga
Advertisement

DI SEBUAH gelanggang latihan yang sederhana di Hulu Selangor, seorang kanak-kanak berusia lima tahun mula mengenali erti disiplin.

Ketika rakan seusia masih menghabiskan masa dengan permainan, Zahirul Haq Hamdani Kharil Johari memilih untuk mempelajari setiap langkah, tendangan dan gerakan dalam seni bela diri.

Tanpa disedari, langkah kecil itu akhirnya membawa dirinya ke pentas dunia.

Kini pada usia 12 tahun, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Tangga, Bukit Beruntung itu muncul juara 1st IFMA Muaythai School World Championships 2026, sekali gus mengharumkan nama Malaysia selepas menewaskan pencabar dari pelbagai negara dalam kejohanan yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Kejayaan itu menjadi bukti bahawa usia bukan penghalang untuk melakar sejarah apabila disertai kesungguhan, disiplin dan semangat yang tidak pernah luntur.

Berkongsi kisah tersebut kepada Astro AWANI, perjalanan Zahirul Haq dalam dunia seni bela diri bermula di Hypermax Taekwondo Club, di mana dia membina asas teknik, kecergasan dan keyakinan diri.

Walaupun kemudian beralih memberi tumpuan kepada Muay Thai apabila menyertai Kuala Lumpur Muaythai & Boxing Academy pada usia 10 tahun, kanak-kanak itu tidak pernah meninggalkan tae kwan do.

Malah, kedua-dua disiplin Muay Thai dan tae kwan do turut dilatih secara serentak menerusi pengurusan masa yang tersusun, menjadikan setiap sesi latihan sebagai pelengkap kepada perkembangan dirinya sebagai atlet.

Kesungguhan itu kini membuka lembaran baharu apabila Zahirul Haq dipilih mewakili Malaysia ke IFMA Youth World Championships 2026 di Greece pada November depan, satu pengiktirafan yang hanya diberikan kepada atlet muda terbaik berdasarkan prestasi di pentas antarabangsa.

"Saya percaya seorang 'fighter' bukan hanya perlu hebat berlawan, tetapi juga pandai berkomunikasi.

"Saya masih belajar untuk meningkatkan keyakinan dan kemahiran bercakap supaya dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang," katanya.

Namun, keistimewaan Zahirul Haq bukan hanya terletak pada pencapaiannya di gelanggang.

Selain Muay Thai, dia turut aktif dalam boxing, tae kwan do dan kickboxing, menjadikannya antara atlet muda negara yang mempunyai pengalaman merentas pelbagai disiplin sukan tempur.

Lebih menarik, Zahirul Haq melihat peranan seorang atlet moden melangkaui kemenangan dan koleksi pingat.

Dengan gelaran juara dunia, peluang mewakili negara di Greece serta kebolehan menguasai pelbagai disiplin seni bela diri, Zahirul Haq kini muncul sebagai antara prospek paling cerah sukan tempur negara.

Daripada seorang kanak-kanak yang memulakan latihan di Hulu Selangor, dia kini membawa impian yang jauh lebih besar iaitu mengangkat Jalur Gemilang di pentas dunia.

Must Watch Video

Advertisement