Skip to main content

Sukan

Era berakhir: John Cena beri penghormatan kepada AJ Styles, Brock Lesnar

[TB]_John Cena_IG John Cena
Menerusi hantaran di Instagram pada Rabu, Cena berkongsi gambar tiga genggaman tangan disatukan, menampilkan 'wristband' ikoniknya dengan tulisan “U Can’t See Me”, sarung tangan hitam milik Lesnar serta sarung tangan biru sinonim dengan Styles. - Foto Instagram/@johncena
Advertisement

TANPA sebarang kapsyen atau ucapan panjang, legenda WWE, John Cena memilih sekeping gambar penuh simbolik untuk memberi penghormatan kepada dua seteru terhebatnya, AJ Styles dan Brock Lesnar.

Menerusi hantaran di Instagram pada Rabu, Cena berkongsi gambar tiga genggaman tangan disatukan, menampilkan 'wristband' ikoniknya dengan tulisan “U Can’t See Me”, sarung tangan hitam milik Lesnar serta sarung tangan biru sinonim dengan Styles.

Meskipun tanpa sebarang kata-kata, gambar berkenaan dilihat jelas membawa mesej penghormatan daripada Cena kepada Styles dan Lesnar, selepas ketiga-tiga legenda itu menamatkan karier masing-masing dalam tempoh kira-kira lapan bulan.

Cena menjadi yang pertama menggantung but pada Disember lalu selepas tewas kepada Gunther dalam perlawanan terakhirnya di Saturday Night’s Main Event, sekali gus menutup perjalanan lebih dua dekad sebagai antara wajah terbesar WWE.

Styles kemudian menyusul pada Royal Rumble 2026 selepas mempertaruhkan kariernya dalam perlawanan menentang Gunther.

Lesnar pula menjadi nama terbaharu menyertai ‘kelab persaraan’ itu apabila mengesahkan penampilannya di SummerSlam, Sabtu lalu, merupakan perlawanan terakhir dalam kariernya.

Bekas juara dunia WWE sebanyak 10 kali itu membuat pengumuman rasmi menerusi The Pat McAfee Show pada Selasa, hanya beberapa hari selepas tewas dan 'menyerahkan obor' kepada Oba Femi dalam perlawanan Hell in a Cell di Minneapolis.

Ketiga-tiga legenda itu meninggalkan legasi dengan identiti tersendiri. Justeru, gambar tiga genggaman tangan itu bukan sekadar ucapan selamat tinggal antara mereka.

Ia juga menjadi gambaran sebuah era yang kini benar-benar sudah sampai ke penghujungnya, dengan tiga nama besar yang pernah menentukan hala tuju WWE akhirnya menyerahkan pentas kepada generasi seterusnya.
 

Must Watch Video

Advertisement