Skip to main content

Sukan

FIFA pilih Kovacs untuk perlawanan Piala Dunia ke-1000

Istvan Kovacs
Kovacs adalah sebahagian daripada panel pegawai perlawanan pada Piala Dunia 2022 di Qatar, iaitu beliau berkhidmat sebagai pegawai keempat sebanyak lapan kali. - Foto Instagram
Advertisement

MEXICO CITY: Pengadil Romania, Istvan Kovacs telah dipilih untuk mengendalikan perlawanan ke-1,000 dalam sejarah Piala Dunia FIFA, menurut badan induk bola sepak dunia FIFA pada Khamis, lapor Xinhua.

Kovacs akan mengendalikan pertemuan Kumpulan F antara Tunisia dan Jepun di Stadium Monterrey pada Sabtu, menurut kenyataan FIFA.

Menurut kenyataan itu, beliau akan dibantu oleh rakan senegara Ferencz Tunyogi dan Mihai Marica, bersama-sama warga Costa Rica Juan Calderon dan Juan Carlos Mora, masing-masing berkhidmat sebagai pegawai keempat dan penolong pengadil simpanan.

Ketua pegawai pengadil FIFA dan pengerusi jawatankuasa pengadil Pierluigi Collina berkata Kovacs dipilih mengikut kriteria biasa, walaupun pada perlawanan istimewa.

"Kami memilih pengadil yang kami fikir ialah pengadil terbaik untuk perlawanan ini," kata Collina.

"Dan sudah tentu, secara kebetulan, beliau juga dilantik untuk perlawanan ke-1,000. Jadi, baginya, ia adalah sesuatu yang lebih -- sesuatu yang istimewa.”

“Mengadili perlawanan Piala Dunia FIFA sentiasa satu keistimewaan, ia satu penghormatan," kata warga Itali itu, yang mengadili perlawanan akhir Piala Dunia 2002 antara Brazil dan Jerman.

Kovacs, 41, adalah sebahagian daripada panel pegawai perlawanan pada Piala Dunia 2022 di Qatar, iaitu beliau berkhidmat sebagai pegawai keempat sebanyak lapan kali.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement