Skip to main content

Sukan

FIFA sahkan Bergson, Tapp layak sarung jersi Harimau Malaya

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengesahkan dua pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Bergson da Silva dan Brad Tapp layak untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia._FB Football Association of Malaysia
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson da Silva dan Brad Tapp masing-masing layak mewakili skuad kebangsaan. - Foto FAM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Bergson da Silva dan Brad Tapp masing-masing layak mewakili skuad kebangsaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengesahan itu diterima selepas FIFA selesai meneliti status kelayakan kedua-dua pemain berkenaan berdasarkan peraturan dan peruntukan ditetapkan.

Bagaimanapun, status dua lagi pemain JDT, Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih dalam proses semakan dan pengesahan FIFA.

“FAM akan terus memberikan kerjasama dan mengemukakan segala maklumat serta dokumen yang diperlukan kepada FIFA berkaitan proses semakan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

FAM memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai status Hidalgo dan Lowry akan diumumkan selepas menerima pengesahan rasmi daripada badan induk bola sepak dunia itu.

Bergson, 35, merupakan penyerang kelahiran Brazil yang menyertai JDT pada 2021 dan melengkapkan tempoh lima tahun berada di Malaysia pada Februari lepas sekali gus membuka laluan untuk proses naturalisasi bagi membolehkannya mewakili Harimau Malaya.

Tapp, 25, pula merupakan pemain pertahanan warisan kelahiran Sydney, Australia yang menyertai JDT daripada Central Coast Mariners, Julai lepas.

Pengesahan kelayakan Bergson dan Tapp memberi lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan negara kendalian Tan Cheng Hoe menjelang persiapan menghadapi edisi sulung Piala ASEAN FIFA di Jakarta hujung bulan ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement