Skip to main content

Sukan

GP Bahrain: Tiket MADANI habis terjual - Mohammed Taufiq

Putrajaya , 22 Julai 2026. Menteri Belia dan Sukan , Dr. Mohammed Taufiq Johari menyampaikan ucapan perasmian berikutan Majlis Peluncuran Kempen Antibuli Pekarasa: Henti Buli, Mula Peduli di Lobi Menara KBS, Putrajaya.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Menurut Mohammed Taufiq, SIC memaklumkan tiket berkenaan mendapat permintaan yang tinggi oleh rakyat Malaysia, selepas sistem jualan dibuka kepada awam. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

TEMERLOH: Tiket MADANI yang berharga serendah RM200 bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2-4 Okt ini, telah habis terjual, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata menurut SIC, tiket berkenaan mendapat permintaan yang tinggi oleh rakyat Malaysia, selepas sistem jualan dibuka kepada awam.

“Setakat hari ini (tiket MADANI) memang dah terjual dengan secara keseluruhan, tetapi kita akan melihat juga sekiranya ada ruang dan keperluan untuk tambahan (tiket MADANI) dan sebagainya. Kita akan umumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Innovation Development Through Educational Activities (iDEA’26) dan jelajah pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), Institusi Latihan Kemahiran Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Timur 2026 di Dewan Tun Razak di sini.

Sementara itu, Mohammed Taufiq berkata program iDEA'26 bukan sekadar platform pertandingan inovasi, sebaliknya menjadi medan untuk mengembangkan idea, kreativiti dan kepakaran pelajar TVET, agar berpotensi dikomersialkan di pasaran tempatan, ASEAN dan antarabangsa.

“Produk mereka ini amat wajar untuk dipasarkan dan tidak terhenti setakat memenangi pertandingan. Kita akan menilai dan melihat bagaimana produk itu boleh dikembangkan dengan lebih jauh, termasuk membuat penambahbaikan sebelum ia boleh dipasarkan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memperkukuh agenda TVET negara, menerusi 12 memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara institusi latihan kemahiran dan rakan strategik industri, bagi membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada golongan muda.

“Itulah tujuan iDEA'26, bukan hanya untuk memenangi pertandingan tetapi untuk mengembangkan inovasi, mencipta produk yang mempunyai nilai pasaran dan melahirkan bakat baharu dalam negara,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement