Skip to main content

Sukan

Hakim Danish bakal miliki tribun khas di GP Malaysia 2026

SEPANG, 14 Julai -- Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Rahimi Ismail (dua,kanan) bergambar bersama Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli (tengah) sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini._BERNAMA
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif (kanan) bergambar bersama Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli (tengah) sejurus ketibaannya di KLIA, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

SEPANG: Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli atau Hakim Danish bakal menerima sokongan istimewa peminat tempatan apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) merancang menyediakan tribun khas sempena Grand Prix Malaysia (GP Malaysia) 2026 pada Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata tribun khas itu diwujudkan bagi menghargai pencapaian cemerlang pelumba muda berkenaan, selain memberi peluang kepada rakyat Malaysia bersatu memberikan sokongan kepada Hakim Danish dalam perlumbaan berprestij itu.

Beliau berkata peminat yang telah membeli tiket MotoGP boleh menukarkannya kepada tiket tribun khas Hakim Danish apabila jualan bagi seksyen berkenaan dibuka kelak.

“Insya-Allah kita akan adakan satu tribun khas untuk Hakim Danish. Siapa yang belum lagi beli tiket tunggu, ataupun boleh beli sekarang dan tukar untuk tribun Hakim Danish,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan Hakim Danish di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. 

Azhan Shafriman berkata berdasarkan perancangan awal, tribun khas itu akan ditempatkan di kawasan Front Straight berhampiran Main Grandstand, yang menawarkan pandangan hadapan terhadap aksi perlumbaan.

Beliau berkata SIC pada peringkat awal akan menyediakan dua blok tempat duduk, namun kapasiti itu boleh ditambah sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

“Kita akan buat dua blok dekat situ tapi kalau permintaan banyak kita akan kembangkan lagilah blok tersebut,” katanya. 

Beliau berkata pengumuman lanjut mengenai tribun khas berkenaan serta keseluruhan perancangan GP Malaysia 2026 akan dibuat pada sidang media khas pada September ini.

Sementara itu, Azhan Sahfriman menyifatkan kejayaan Hakim Danish meraih kemenangan pada musim pertamanya sebagai pelumba rookie sebagai sesuatu yang istimewa dan berharap pelumba berkenaan terus menghadiahkan lebih banyak keputusan podium untuk Malaysia.

“Jarang-jarang kita dapat lihat pada tahun pertama, rookie seperti Hakim Danish dapat merangkul tempat pertama jadi bagi saya satu kejayaan yang sungguh istimewa, kita nak tengok lebih banyak lagi podium datang,” katanya. 

Sementara itu, Hakim Danish menyifatkan perancangan tribun khas itu sebagai pembakar semangat  untuk beraksi di GP Malaysia.

“Alhamdulillah, saya pun baru dapat tahu. Terima kasih kepada Encik Shafriman kerana bagi motivasi dan semangat kepada saya untuk berlumba di Sepang pada bulan 10 nanti,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement