MELAKA: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak memperlahankan rentak apabila mara ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 8-1 selepas menewaskan Melaka FC 3-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam tadi.
Sebelum perlawanan, Harimau Selatan sudah meletakkan sebelah kaki ke pentas separuh akhir susulan kemenangan 5-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Iskandar, 13 Feb lepas.
Advertisement
Beraksi di hadapan kira-kira 2,000 penonton, JDT menunjukkan taring apabila mendahului seawal minit ketujuh menerusi jaringan pemain pertahanan kiri Corbin Ong sebelum penyerang sensasi Jairo da Silva menggandakan kelebihan pada minit ke-30.
Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah cuba mencari gol pertama namun sepakan Donghyun Do dari luar kotak penalti pada minit ke-48 sekadar melepasi palang gol pelawat.
Dua minit kemudian, Melaka FC sekali lagi mencipta peluang menerusi Ahmed Ayman Shamsaldin Abdalazem yang menerima hantaran Donghyun pada minit ke-50, namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol.
Jairo terus menambah derita Melaka FC apabila tandukannya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Samuel Jacob Somerville pada minit ke-54.
Melaka FC akhirnya memperoleh gol sagu hati pada minit-minit akhir perlawanan menerusi Ahmed Ayman Shamsaldin hasil hantaran Che Rashid Che Halim.
JDT seterusnya akan berdepan Kuala Lumpur City FC dalam aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung secara timbal balik pada bulan depan dan April.
-- BERNAMA