PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti bentuk sokongan yang diperlukan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bagi meneruskan langkah seterusnya dalam karier, termasuk dari aspek sains sukan, perubatan dan latihan.
Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya telah menghantar wakil untuk bertemu pemenang pingat emas acara keirin lelaki Sukan Komanwel 2026 bagi membincangkan dengan lebih mendalam keperluan pelumba berkenaan.
"Saya ada berbincang dengan dia (Mohd Azizulhasni) berkenaan perancangan seterusnya dan yang saya difahamkan, memang dia masih menunggu daripada KBS dan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk mempertimbangkan penyertaan ke temasya (sukan) yang seterusnya.
"Pertemuan semalam turut disertai Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley. Jadi saya rasa perbincangan sangat positif dan kita akan berbincang dengan lebih mendalam, selepas keputusan dimuktamadkan, kita akan buat pengumuman rasmi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Bulan Rakan Demokrasi menerusi inisiatif Kuasa Orang Muda (KOM) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan PKBM agar KBS dan MSN mempertimbangkan usaha membawa semula pelumba kelahiran Terengganu berusia 38 tahun itu ke dalam program Road to Gold (RTG).
Media sebelum ini melaporkan Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata pihaknya akan menyampaikan hasrat kepada KBS dan MSN untuk membolehkan pemenang pingat emas acara keirin lelaki Sukan Komanwel 2026 itu meneruskan usaha memburu satu lagi penampilan pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA 2028).
Dr Mohammed Taufiq berkata harapan KBS terhadap Mohd Azizulhasni adalah terus memberikan yang terbaik untuk negara dengan segala keperluan termasuk hal teknikal serta aspek berkaitan akan dipertimbangkan.
Mohd Azizulhasni baru-baru ini menamatkan penantian selama 16 tahun untuk menjadi juara Sukan Komanwel selepas memenangi pingat emas acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy di Glasgow, Scotland.
Pada Isnin lepas, bekas juara dunia keirin lelaki itu berkata keputusan sama ada beliau akan bertanding pada LA 2028 perlu dimuktamadkan sebelum Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun yang akan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt.
Mohd Azizulhasni sebelum ini adalah antara atlet yang berada di bawah program RTG bagi menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
-- BERNAMA