Skip to main content

Sukan

Kelab Liga-M terima agihan pendapatan musim lepas

41742260872_MFL.jpg
Bayaran yang diterima pada awal bulan ini memberi kepastian kepada kelab untuk merancang dan menguruskan operasi dengan lebih teratur. - Foto MFL
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kelab-kelab menyambut baik penyelesaian bayaran agihan pendapatan berdasarkan merit bagi saingan musim lepas yang membantu pengurusan aliran tunai dan perancangan operasi Liga Malaysia (Liga-M) 2026-2027.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC (NSFC) Faliq Firdaus berkata bayaran yang diterima pada awal bulan ini memberi kepastian kepada kelab untuk merancang dan menguruskan operasi dengan lebih teratur.

“Bagi pihak kelab, pembayaran ini sememangnya penting dalam membantu pengurusan aliran tunai serta memenuhi komitmen operasi yang telah dirancang.

“Kami harap segala urusan MFL dalam menguruskan keperluan kelab pada musim baharu ini berjalan lancar kerana kepastian dari segi kewangan amat penting dalam membantu kelab merancang dan mengurus operasi secara mampan,” katanya dalam kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.

Sementara itu, pemangku CEO Terengganu FC Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata agihan tersebut membantu kelab menguruskan komitmen serta perbelanjaan operasi dengan lebih baik.

Beliau berkata setiap sumber pendapatan amat penting bagi memastikan perjalanan kelab dapat diuruskan secara lancar, selain membolehkan pasukan memberi tumpuan kepada pembangunan dan persiapan menghadapi saingan.

“Kami melihat inisiatif agihan pendapatan seperti ini sebagai satu usaha yang positif dalam membantu kelab-kelab Liga Malaysia mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing,” katanya.

CEO Interim Sabah FC Syazwan Imran pula menyifatkan agihan itu sebagai suntikan penting untuk kelab menguruskan komitmen kewangan serta memastikan operasi pasukan berjalan lancar sepanjang musim.

Beliau berkata model agihan berdasarkan merit juga mampu menjadi galakan kepada kelab untuk terus meningkatkan prestasi dan memperbaiki kedudukan dalam liga pada setiap musim.

Setiap kelab Liga Super bagi musim 2025-2026 dilaporkan menerima agihan sama rata RM500,000, manakala agihan berdasarkan merit menyaksikan juara liga menerima RM1.9 juta, naib juara RM1.4 juta dan pasukan di tempat ketiga RM1 juta.

Bagi pasukan keempat hingga ke-13, masing-masing menerima agihan berdasarkan merit antara RM700,000 hingga RM100,000. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement