Skip to main content

Sukan

KRW FC rayu FAM, MFL selesaikan sekatan pemain import

KOTA BHARU, 18 Jan -- Ketua Jurulatih Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) yang baharu Irfan Bakti Abu Salim (kiri) pada Majlis Pengenalan Ketua Jurulatih pasukan itu di sebuah hotel hari ini._BERNAMA
Irfan Bakti berkata KRW FC amat memerlukan khidmat pemain import bagi menyaingi pasukan lain yang menggunakan antara lima hingga tujuh pemain asing. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Ketua jurulatih Kelantan Red Warrior (KRW) FC Irfan Bakti Abu Salim merayu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) segera menyelesaikan sekatan pendaftaran pemain import baharu yang dikenakan ke atas pasukannya untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Beliau berkata KRW FC amat memerlukan khidmat pemain import bagi menyaingi pasukan lain yang menggunakan antara lima hingga tujuh pemain asing.

“Saya memohon jasa baik FAM dan MFL untuk menyelesaikan masalah ini. Jika tidak, kami tidak mampu bersaing dengan hanya pemain sedia ada.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya lima pemain import di posisi pertahanan, tengah dan penyerang bagi memperkuatkan pasukan untuk berdepan cabaran pasukan lain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super antara KRW FC dan Selangor FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Dalam perlawanan itu, KRW FC tewas 1-4 kepada Selangor FC yang menurunkan empat pemain import, berbanding dua pemain import bagi pasukan tuan rumah. Dua pemain import itu didaftarkan ketika saingan musim lepas.

Irfan Bakti berkata meskipun berdepan sekatan pendaftaran pemain import yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan beberapa isu, beliau berpuas hati dengan komitmen anak buahnya dalam memberikan saingan kepada Selangor FC.

“Saya berpuas hati dengan semangat juang pemain. Walaupun kita kalah dan menghadapi sekatan pendaftaran, pemain telah memberikan segalanya. Kita perlu bersikap realistik dengan senarai pemain yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini turut menguji pemain import dari Iran dan Jepun dalam beberapa perlawanan persahabatan, yang disifatkannya memberi impak positif terhadap corak permainan pasukan, namun kedua-duanya tidak dapat didaftarkan berikutan sekatan berkenaan.

Katanya, sekiranya isu itu dapat diselesaikan, pihak pengurusan kelab sudah mengenal pasti beberapa pemain import untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan.

“Kita memerlukan lima pemain import, iaitu dua pertahanan, seorang pemain tengah dan dua penyerang. Sekarang ini pihak pengurusan kelab telah berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi pasukan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement