Skip to main content

Sukan

LA Lakers dijual pada nilai rekod AS$12.5 bilion

FILE PHOTO: Apr 18, 2026; Los Angeles, California, USA; Los Angeles Lakers forward LeBron James (23) shoots the ball against Houston Rockets forward Jabari Smith Jr. (10) and guard Amen Thompson (1) in the second half during game one of the first round of the 2026 NBA Playoffs at Crypto.com Arena. Mandatory Credit: Kirby Lee-Imagn Images/File Photo
Bekas pemain Los Angeles Lakers, LeBron James, melakukan percubaan jaringan ketika menentang Houston Rockets. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

LOS ANGELES: Francais bola keranjang terkenal NBA, Los Angeles (LA) Lakers, dilaporkan akan dijual pada nilai rekod AS$12.5 bilion (RM51.07 bilion), menjadikannya antara urus niaga pemilikan pasukan sukan terbesar dalam sejarah.

Pegangan kawalan dalam pasukan itu akan diambil alih oleh Josh Kushner, usahawan dan pelabur teknologi yang juga adik kepada menantu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Jared Kushner, bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Bob Iger.

Dalam kenyataan bersama, Kushner dan Iger menyifatkan peluang memiliki Lakers sebagai satu penghormatan besar memandangkan pasukan itu merupakan antara francais sukan paling ikonik di dunia.

“Kami komited untuk meneruskan legasi pasukan ini, bersaing pada tahap tertinggi dan berkhidmat untuk peminat serta bandar Los Angeles,” kata mereka.

Lakers sebelum ini dimiliki oleh keluarga Buss sejak 1979 apabila mendiang Jerry Buss membeli pasukan itu menerusi urus niaga bernilai AS$67.5 juta yang turut melibatkan pasukan hoki Los Angeles Kings dan arena sukan yang kini dikenali sebagai Kia Forum.

Selepas kematian Jerry Buss pada 2013, pemilikan pasukan diserahkan kepada enam anaknya sebelum pegangan majoriti dijual kepada pelabur Mark Walter pada 2025 dalam urus niaga yang ketika itu dianggarkan bernilai sekitar AS$10 bilion, juga satu rekod bagi francais sukan.

Walter, yang turut memiliki kepentingan dalam pasukan besbol Los Angeles Dodgers, menyifatkan pemilikannya terhadap Lakers sebagai satu pengalaman berharga sepanjang hayat.

“Lakers adalah milik Los Angeles. Saya yakin masa depan francais ini akan terus cemerlang,” katanya.

Lakers merupakan salah satu pasukan paling berjaya dalam sejarah NBA dengan 17 kejuaraan liga, hanya satu gelaran di belakang Boston Celtics yang memegang rekod 18 kejuaraan.

Pasukan itu kini diketuai bintang Slovenia, Luka Doncic, yang menyertai Lakers dari Dallas Mavericks pada Februari 2025. Beliau menjadi tonggak utama selepas LeBron James meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Philadelphia 76ers pada musim panas lalu.

Doncic menyambut baik pengambilalihan tersebut dan menyatakan keyakinannya terhadap masa depan Lakers.

“Menjadi sebahagian daripada Lakers amat bermakna bagi saya. Saya tidak sabar untuk kembali ke gelanggang dan membawa kejuaraan kepada Los Angeles,” katanya menerusi media sosial.

Urus niaga berkenaan dijangka memberi dimensi baharu kepada pengurusan Lakers ketika francais itu berusaha kembali mencabar kejuaraan NBA pada musim-musim akan datang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement