Skip to main content
Advertisement

Sukan

Legenda AC Milan, Franco Baresi meninggal dunia pada usia 66 tahun

Fabrizio Romano
Punca kematian mendiang tidak didedahkan. Bagaimanapun, Baresi (foto) pernah menjalani pembedahan bagi membuang nodul paru-paru pada Ogos 2025 sebelum menjalani rawatan pemulihan susulan. -Gambar fail/Instagram
Advertisement

MILAN: Dunia bola sepak berkabung susulan pemergian legenda AC Milan dan skuad kebangsaan Itali, Franco Baresi, yang meninggal dunia pada usia 66 tahun, menurut pengesahan rasmi kelab Serie A itu pada Jumaat.

AC Milan dalam satu kenyataan menyifatkan pemergian bekas kapten ikonik itu sebagai kehilangan besar kepada kelab yang menjadi sebahagian daripada hidupnya sepanjang karier profesional.

"Seluruh sejarah AC Milan bersedih atas pemergian Franco Baresi. Contoh dan integritinya akan kekal terpahat dalam DNA kelab, sama seperti jersi nombor enam ikoniknya," menurut kenyataan kelab itu.

Punca kematian mendiang tidak didedahkan. Bagaimanapun, Baresi pernah menjalani pembedahan bagi membuang nodul paru-paru pada Ogos 2025 sebelum menjalani rawatan pemulihan susulan.

Penampilan awam terakhirnya adalah pada Februari lalu apabila beliau menjadi antara pembawa obor Olimpik pada majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano-Cortina 2026 di Stadium San Siro.

Baresi dianggap antara pertahanan terbaik dalam sejarah bola sepak.

Sepanjang 20 tahun bersama AC Milan, beliau membuat 719 penampilan, memenangi enam kejuaraan Serie A dan tiga Piala Eropah, selain mengetuai pasukan sebagai kapten selama 15 musim sebelum bersara pada 1997.

Kesetiaannya terhadap Rossoneri turut terserlah apabila beliau kekal bersama kelab itu ketika AC Milan tersingkir ke Serie B pada awal 1980-an sebelum membantu pasukan kembali ke divisyen utama.

Di pentas antarabangsa, Baresi mengumpul 81 penampilan bersama Itali.

Beliau merupakan sebahagian daripada skuad yang menjuarai Piala Dunia 1982 dan kemudian mengetuai Azzurri mara ke final Piala Dunia 1994.

Selepas persaraannya, AC Milan menamatkan penggunaan jersi nombor enam miliknya, menjadikannya pemain pertama dalam sejarah kelab yang menerima penghormatan sedemikian.

Beliau kemudian dilantik sebagai Naib Presiden Kehormat AC Milan pada 2020.

 

 

Must Watch Video

Advertisement