KUALA LUMPUR: Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk mengutip tiga mata di laman sendiri tidak kesampaian selepas tewas 0-3 di tangan Selangor FC pada saingan Liga Super 2026-2027 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah melonjak ke tangga kedua carta Liga Super dengan enam mata, manakala Terengganu kekal di tangga ketujuh dengan tiga mata.
Pada babak pertama, Selangor kendalian bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon, lebih menguasai permainan, namun kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan.
Selangor akhirnya membuka tirai jaringan pada babak kedua menerusi Kay Sheku Tejan pada minit ke-58 sebelum Chrigor Moraes menggandakan kelebihan empat minit kemudian.
Skuad Gergasi Merah terus melebarkan jurang pada masa tambahan menerusi Moraes untuk melengkapkan kemenangan 3-0 ke atas tuan rumah.
Keputusan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah melonjak ke tangga kedua carta Liga Super dengan enam mata, manakala Terengganu kekal di tangga ketujuh dengan tiga mata.
Sementara itu, aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu menyaksikan Sabah FC meraih kemenangan kedua selepas menewaskan Penang FC 2-0.
Dalam saingan awal liga, Sabah FC mengekalkan rekod sempurna selepas menundukkan Star City 3-1 pada perlawanan pembukaan, Isnin lepas.
Skuad Sang Badak membuka jaringan menerusi Gonzalo Di Renzo pada minit ke-40 untuk membolehkan tuan rumah mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.
Sabah FC kemudian menggandakan kelebihan lapan minit selepas permainan bersambung menerusi Abdul Hanafie Tokyo Abd Hasim pada minit ke-53.
Penang FC cuba bangkit untuk merapatkan kedudukan, namun gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah sehingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan Sabah FC menduduki tangga ketiga dengan tiga mata, manakala Penang FC berada di tangga kesembilan tanpa sebarang mata.
-- BERNAMA