Skip to main content

Sukan

Liverpool kenduri lima gol, naik ke tangga kelima, tapi belum pintas Man United

Liverpool players celebrate after a goal during the Premier League soccer match between Liverpool and West Ham United in Liverpool, England, Saturday, Feb. 28, 2026. (AP Photo/Jon Super)
Pemain Liverpool meraikan kejayaan menjaringkan gol ketika perlawanan EPL antara Liverpool dan West Ham United di Liverpool, England, 28 Feb 2026. (Foto AP)

PRESTASI klinikal Liverpool memastikan kemenangan besar 5-2 ke atas West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield lewat malam tadi, sekali gus membolehkan skuad kendalian Arne Slot itu menyamai pungutan mata dengan pasukan di tangga keempat, Manchester United.

Bagaimanapun, The Reds masih belum dapat memintas seteru tradisi itu dengan hanya dibezakan satu perbezaan jaringan dan ia dijangka akan berubah lagi menjelang pertemuan United dan Crystal Palace malam ini.

Advertisement

Tuan rumah mempamerkan dominasi awal dengan mendahului 3-0 sebelum waktu rehat hasil jaringan Hugo Ekitike, Virgil van Dijk, dan Alexis Mac Allister.

Menariknya, kesemua gol dalam babak pertama itu berpunca daripada situasi bola pegun.

Ekitike membuka tirai jaringan seawal minit kelima selepas menyempurnakan hantaran Ryan Gravenberch untuk gol ke-16 peribadinya musim ini.

Walaupun West Ham cuba bangkit memberi tekanan, Van Dijk menggandakan kedudukan itu menerusi tandukan padu susulan sepakan penjuru Dominik Szoboszlai.

Sebelum wisel separuh masa dibunyikan, Mac Allister menambah duka pelawat menerusi rembatan voli yang terbias menerjah jaring, memaksa segelintir penyokong The Hammers mula meninggalkan stadium lebih awal.

Dalam babak kedua, West Ham cuba mencabar kelekaan benteng pertahanan tuan rumah apabila Tomas Soucek merapatkan jurang selepas memanfaatkan hantaran tepat El Hadji Malick Diouf.

Bagaimanapun, Cody Gakpo pantas menebus kegagalannyanya di depan gol dengan satu rembatan terbias pada minit ke-70 untuk menenangkan keadaan di Anfield.

Meskipun Taty Castellanos menjaringkan gol kedua buat pasukan pelawat bimbingan Nuno Espirito Santo, gol sendiri daripada Axel Disasi, yang berpunca daripada hantaran lintang Jeremie Frimpong, akhirnya melengkapkan kemenangan Liverpool.

Kemenangan itu turut melonjakkan Liverpool untuk memintas Chelsea, yang dijadualkan bertemu pendahulu liga, Arsenal,awal pagi esok.

 

Must Watch Video