MANCHESTER UNITED menerima tamparan hebat menjelang aksi penting Liga Perdana Inggeris apabila pertahanan utama mereka, Harry Maguire disahkan tidak dapat diturunkan menentang Chelsea susulan penggantungan satu perlawanan.
Keputusan itu dibuat oleh The Football Association selepas Maguire didapati bersalah atas tuduhan salah laku melibatkan penggunaan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan.
Advertisement
Insiden tersebut berpunca daripada perlawanan menentang Bournemouth sebelum ini, di mana Maguire dilayangkan kad merah pada minit ke-78.
Namun, situasi menjadi lebih serius apabila dia didakwa, bertindak tidak wajar dengan menggunakan kata-kata berunsur menghina terhadap pegawai keempat.
Pemain berusia 33 tahun itu mengakui kesalahan tersebut dan turut dikenakan denda sekitar GBP30,000.
Ketiadaan Maguire bukan satu-satunya masalah buat United, seorang lagi pertahanan tengah, Lisandro Martinez turut bakal terlepas beberapa perlawanan selepas dilayangkan kad merah akibat kesalahan 'violent conduct'.
Ketika ini, Manchester United berada dalam kelompok teratas liga dan masih bersaing untuk kedudukan terbaik namun kehilangan dua pemain pertahanan utama menjelang pertemuan dengan Chelsea boleh memberi kesan besar kepada keseimbangan pasukan dan paling membimbangkan terhadap keampuhan pertahanan The Red Devils.
Kes Maguire ini sekali lagi membuktikan bahawa dalam bola sepak moden, disiplin di dalam dan luar padang memainkan peranan besar.
Dalam perlawanan berintensiti tinggi, bukan sahaja aksi fizikal dinilai — tetapi juga tingkah laku pemain terhadap pegawai.
Buat United, ini bukan sekadar kehilangan pemain — tetapi ujian sebenar terhadap kedalaman skuad dan keupayaan mereka mengharungi tekanan di fasa kritikal musim. -- Stadium Astro