Skip to main content

Sukan

Martinelli tinggalkan Arsenal, sertai Al-Hilal

Soccer Football - Pre Season Friendly - Arsenal v Como - Emirates Stadium, London, Britain - August 12, 2026 Arsenal's Gabriel Martinelli in action Action Images via Reuters/Paul Childs
Martinelli menjadi pemain terbaharu dari Liga Perdana Inggeris yang menyertai Al-Hilal tahun ini. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

RIYADH: Penyerang Brazil, Gabriel Martinelli sah menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal, selepas menamatkan khidmat selama tujuh tahun bersama Arsenal, umum kedua-dua kelab pada Khamis.

Martinelli, 25, menyertai Arsenal pada 2019 dan sejak itu membuat 278 penampilan dalam semua pertandingan serta meledak 62 gol.

Sepanjang tempohnya di Stadium Emirates, beliau membantu Arsenal muncul juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, selain menjulang Piala FA pada 2020 dan Perisai Komuniti FA pada 2023.

Dalam kenyataan di laman sesawang rasmi kelab, Al-Hilal memaklumkan, pemain antarabangsa Brazil itu menandatangani kontrak selama empat tahun.

“Lembaga Pengarah Al-Hilal yang dipengerusikan Putera Nawaf bin Saad telah memuktamadkan perpindahan pemain Brazil, Gabriel Martinelli dari Arsenal untuk mewakili pasukan utama Al-Hilal selama empat tahun,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Arsenal merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Martinelli sepanjang bersama kelab berkenaan.

“Semua warga Arsenal ingin mengucapkan terima kasih kepada Gabi atas sumbangannya kepada kelab dan mendoakan yang terbaik buat beliau serta keluarganya pada masa hadapan,” menurut kenyataan juara Liga Perdana Inggeris itu.

Martinelli menjadi pemain terbaharu dari Liga Perdana Inggeris yang menyertai Al-Hilal tahun ini selepas Crysencio Summerville dari West Ham United dan Ollie Watkins dari Aston Villa turut memilih untuk berhijrah ke Arab Saudi.

Perpindahan itu mengukuhkan lagi usaha Al-Hilal menambah kekuatan pasukan menerusi kehadiran pemain-pemain terkenal Eropah menjelang saingan musim baharu. - Agensi

 

Must Watch Video

Advertisement