KUALA NERUS: Penyerang naturalisasi negara Romel Morales dijangka menjadi antara taruhan Terengganu FC (TFC) apabila berdepan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.
Ketua Jurulatih TFC Mohd Nafuzi Zain berkata pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu kini bebas daripada kecederaan dan bersedia untuk beraksi selepas terlepas perlawanan pembukaan menentang Melaka FC pada Sabtu lepas, akibat kecederaan ringan di betis.
"Setakat ini semua pemain termasuk Romel bebas daripada kecederaan dan sedia untuk beraksi. Saya masih mencuba beberapa kombinasi pemain yang sesuai, mungkin ada sedikit perubahan di kesebelasan utama malam esok," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, di sini petang semalam.
Mengulas pertemuan menentang Selangor, Nafuzi berkata kemenangan 3-0 ke atas Melaka FC memberi suntikan motivasi kepada skuad Penyu, namun menjangkakan cabaran lebih getir berdepan antara pencabar utama Liga Super musim ini.
Beliau berkata kekuatan Selangor yang dibarisi pemain import dan tempatan berkualiti menuntut anak buahnya meningkatkan komitmen, fokus serta disiplin bagi memastikan tiga mata kekal di laman sendiri.
“Untuk berdepan skuad Kim Pan Gon, pemain perlu memberi lebih komitmen, melipatgandakan usaha, lebih fokus dan mengelak kesilapan mudah yang boleh menyebabkan kita dihukum. Saya harap pemain dapat meneruskan momentum kemenangan untuk memastikan tiga mata menjadi milik pasukan,” katanya.
Sementara itu, penyerang import Gervane Kastaneer yang meledak dua gol ketika membantu TFC menewaskan Melaka FC berazam meneruskan rentak jaringan bagi membantu skuad Penyu meraih kemenangan kedua berturut-turut.
Pemain kelahiran Belanda yang mewakili Curacao itu mengakui Selangor antara pasukan pilihan musim ini, namun percaya TFC memiliki kualiti untuk memberikan saingan.
“Sudah tentu Selangor antara pasukan terbaik musim ini tetapi saya fikir kami mempunyai kualiti yang mencukupi untuk menentang mereka. Kami mempunyai ramai pemain baharu berkualiti tinggi dan mereka tahu bagaimana untuk beraksi dalam perlawanan besar,” katanya.
-- BERNAMA