RIYADH: Cristiano Ronaldo membayangkan musim ini mungkin menjadi penampilan terakhirnya sebagai pemain bola sepak profesional, sekali gus memberi petunjuk paling jelas bahawa karier gemilangnya yang menjangkau lebih dua dekad kini menghampiri penghujung.
Legenda Portugal berusia 41 tahun itu berkata, beliau mahu meninggalkan warisan luar biasa sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada sukan yang telah membentuk kehidupannya sejak muda.
Dalam temu bual bersama majalah Vogue sempena perkahwinannya dengan Georgina Rodriguez baru-baru ini, Ronaldo mengakui, beliau sudah merancang kehidupan selepas bersara dan bersedia menghadapi cabaran baharu di luar padang.
"Ini mungkin tahun terakhir saya dalam bola sepak dan saya mahu meninggalkan satu warisan yang luar biasa.
"Saya mempunyai begitu banyak perkara untuk dilakukan sehingga sukar untuk memberitahu hanya satu.
"Apabila bola sepak berakhir, ia mungkin meninggalkan ruang kosong yang besar, jadi anda perlu mengisi masa dengan pelbagai perkara, bukan hanya satu," katanya.
Beliau berkata, kehidupannya selepas persaraan tidak hanya tertumpu kepada satu aktiviti, sebaliknya mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga serta menikmati hasil pengorbanan yang dilakukan sepanjang kariernya.
"Dan juga lebih banyak berseronok, melancong, menonton dan bermain padel, yang sangat saya gemari, serta terus menikmati apa yang telah saya peroleh. Lagipun, sudah 25 tahun dengan begitu banyak pengorbanan," katanya lagi.
Sepanjang kariernya, Ronaldo mencipta pelbagai rekod dan pencapaian luar biasa termasuk memenangi lima anugerah Ballon d'Or, lima gelaran Liga Juara-Juara UEFA serta kejuaraan liga di England, Sepanyol, Itali dan Arab Saudi.
Bagaimanapun, satu-satunya trofi utama yang masih gagal dirangkulnya ialah Piala Dunia.
Impian itu sekali lagi tidak kesampaian selepas Portugal tersingkir dalam edisi kejohanan dunia tahun ini, menjadikan trofi paling berprestij dalam bola sepak itu masih belum menghiasi kabinet koleksi kejayaannya.
Kapten Portugal itu kini terus beraksi bersama juara Liga Pro Saudi, Al-Nassr, yang masih mempunyai baki setahun dalam kontraknya.
Meskipun menghampiri penghujung karier, Ronaldo masih mengejar satu lagi pencapaian bersejarah.
Setakat ini beliau telah menjaringkan 976 gol untuk kelab dan negara, sekali gus hanya memerlukan 24 lagi gol untuk mencapai angka 1,000 jaringan dalam karier profesional.
Ronaldo tidak diturunkan ketika Al-Nassr membuka kempen mempertahankan kejuaraan Liga Pro Saudi menentang Al Fateh pada Sabtu, namun, beliau hadir di stadium dan menyaksikan kemenangan pasukannya bersama keluarga.
Dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan di pulau Madeira, Portugal, Ronaldo kemudiannya mencipta sejarah sebagai pemain bola sepak pertama bergelar bilionair dan berkembang menjadi antara figura sukan paling terkenal di dunia.
Andai musim ini benar-benar menjadi yang terakhir buatnya, tirai akan menutup sebuah era yang menyaksikan Ronaldo muncul sebagai antara pemain terbaik pernah menghiasi pentas bola sepak dunia.