MÁLAGA: Pemain tenis Australia, Nick Kyrgios, digantung sementara daripada aktiviti tenis selepas didapati positif bahan berkaitan kokaina dalam ujian anti-doping yang dijalankan semasa kejohanan ATP 250 di Mallorca, Sepanyol.
Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) berkata sampel yang diberikan pemain berusia 31 tahun itu pada 22 Jun lalu didapati mengandungi benzoylecgonine, iaitu metabolit kokaina.
Menurut ITIA, penggantungan sementara itu berkuat kuasa sejak 4 Ogos lalu dan Kyrgios belum mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Dalam kenyataan menerusi Instagram, bekas pemain nombor 13 dunia itu mengakui kesalahan berkenaan dan berkata beliau bersedia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakannya.
“Saya melakukan kesilapan besar dan saya mengambil tanggungjawab penuh terhadapnya,” kata Kyrgios.
Sepanjang tempoh penggantungan itu, Kyrgios tidak dibenarkan bermain, melatih atau menghadiri mana-mana kejohanan yang dianjurkan atau diiktiraf ATP, WTA, Grand Slam serta badan tenis kebangsaan.
Beliau berkata masalah kecederaan lutut dan pergelangan tangan yang berlanjutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini memberi kesan besar terhadap keadaan fizikal dan mentalnya.
Kyrgios turut mengumumkan akan berehat daripada media sosial dan kehidupan awam selama 28 hari bagi memberi tumpuan kepada pemulihan diri.
Kokaina diklasifikasikan sebagai bahan rangsangan dan "substance of abuse" di bawah Senarai Bahan Terlarang Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), serta dilarang ketika pertandingan.
Sepanjang kariernya, Kyrgios memenangi tujuh gelaran perseorangan ATP dan mencapai final Wimbledon pada 2022, pencapaian terbaiknya dalam kejohanan Grand Slam.