Skip to main content

Sukan

Pavithran cetus kebangkitan keyakinan Harimau Malaya - Cheng Hoe

KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Pemain Malaysia Pavithran Gunalan meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol pada perlawanan Kumpulan B Piala Hyundai ASEAN 2026 antara Malaysia menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, hari ini. Kedudukan semasa Malaysia 1-0 Filipina.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA    KUALA LUMPUR, Aug 8 -- Malaysia player Pavithran Gunalan celebrates after scoring a goal during the Group B match of the 2026 Hyundai ASEAN Cup between Malaysia and the Philippines at the Kual
Pavithran yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan buat kali kedua dalam kejohanan ini menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil sokongan Cheng Hoe dan rakan sepasukan. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jaringan tunggal G. Pavithran menjadi pencetus keyakinan Harimau Malaya sebelum menewaskan Filipina 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe berkata skuad negara bermula sedikit gugup ketika berdepan Filipina, namun jaringan Pavithran pada minit ke-16 membantu anak buahnya memperoleh semula keyakinan untuk tampil lebih baik dan mengawal permainan, terutama pada babak kedua.

"Persekitaran dan ikatan dalam pasukan ketika ini sangat baik. Sudah tentu masih ada ruang untuk diperbaiki.

"Kami bermula sedikit gugup tetapi gol daripada Pavi banyak membantu pasukan mendapatkan keyakinan. Pada separuh masa kedua, kami dapat mengawal permainan dan pemain semakin memahami taktikal yang diterapkan," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Cheng Hoe berkata pemain gantian turut memainkan peranan penting dengan membawa tenaga baharu bagi membantu pasukan mengekalkan kawalan permainan sehingga tamat.

Beliau bagaimanapun mengakui skuad negara masih belum berada pada tahap terbaik dari aspek fizikal selain gagal mencipta banyak peluang ketika berdepan Filipina.

"Secara individu, prestasi kami hari ini sedikit di bawah tahap yang kami mahukan. Dari aspek fizikal, kami sedikit ketinggalan berbanding Filipina dan kami tidak mencipta banyak peluang,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mara ke separuh akhir dan dijadual berdepan juara bertahan Vietnam dalam aksi timbal balik, manakala Thailand menentang naib juara Kumpulan A, Singapura, pada 16 dan 19 Ogos ini.

Mengulas pertemuan menentang Vietnam, Cheng Hoe mengakui pasukan itu merupakan pilihan, namun menegaskan anak buahnya perlu turun tanpa rasa gentar dan memberikan aksi terbaik.

Sementara itu, Pavithran yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan buat kali kedua dalam kejohanan ini menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil sokongan Cheng Hoe dan rakan sepasukan.

Beliau berkata Cheng Hoe sentiasa memberikan semangat dan panduan, manakala pemain lebih berpengalaman tidak lokek berkongsi ilmu serta terus memberikan sokongan ketika beliau melakukan kesilapan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement