Skip to main content

Sukan

Pearly-Thinaah wakil tunggal negara ke suku akhir Terbuka China

41769326963_PearlyTan.jpg
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah mara ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka China 2026, sekali gus muncul wakil tunggal negara yang masih memburu gelaran Jelajah Dunia Super 1000 itu. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah mara ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka China 2026, sekali gus muncul wakil tunggal negara yang masih memburu gelaran Jelajah Dunia Super 1000 itu.

Kejayaan itu hadir selepas enam lagi wakil negara yang beraksi pada pusingan kedua gagal meneruskan cabaran, masing-masing dalam acara perseorangan lelaki, tiga beregu lelaki dan dua beregu campuran.

Dalam aksi pusingan kedua di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou hari ini, pasangan nombor lima dunia itu hanya mengambil masa 30 minit untuk menyingkirkan gandingan Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr, 21-19, 21-12.

Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti juara Indonesia Masters itu apabila mereka dijadualkan berdepan pasangan nombor tiga dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, pada aksi suku akhir esok.

Terdahulu, dua beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, terpaksa akur selepas disingkirkan wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard, menerusi pertarungan sengit 19-21, 21-12, 19-21.

Turut tersingkir ialah Nur Mohd Azryn Ayub-Tan Wee Kiong yang tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 13-21, 19-21.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement