KUALA LUMPUR: Pelumba Malaysian Cub Prix Farres Putra Mohd Fadhill meninggal dunia selepas terlibat kemalangan ketika perlumbaan akhir CP150 pusingan kelima Kejuaraan Malaysian Cub Prix di Litar Permotoran Terengganu semalam.
Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dalam kenyataan memaklumkan kemalangan membabitkan pelumba CKJ Racing itu berlaku di Selekoh 3 pada pusingan pembukaan perlumbaan.
MAM memaklumkan Farres Putra yang menggunakan nombor perlumbaan 33 menerima rawatan perubatan segera di litar sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Walaupun pasukan perubatan berusaha memberikan rawatan, Farres Putra disahkan meninggal dunia di hospital.
“MAM mengambil maklum tindakan pantas pasukan perubatan litar, petugas kecemasan, pegawai perlumbaan dan penganjur acara Penang Motor Sports Club bersama-sama penganjur perlumbaan Safe Aim Mutual Sdn Bhd dalam mengendalikan kemalangan itu,” menurut kenyataan tersebut.
MAM berkata keadaan dan faktor yang melibatkan kemalangan itu akan diteliti mengikut prosedur sukan dan keselamatan yang berkuat kuasa.
Persatuan itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan pasukan CKJ Racing serta komuniti sukan permotoran Malaysia atas pemergian Farres Putra.
“Bagi pihak MAM, kami merakamkan ucapan simpati yang mendalam kepada keluarga Farres Putra, rakan sepasukan, sahabat dan semua pihak yang terkesan dengan kehilangan tragis ini,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA