Skip to main content
Advertisement

Sukan

Pemain Ireland, Israel enggan berjabat tangan sebelum aksi Liga Negara-Negara UEFA

Soccer Football - Nations League - Group B3 - Israel v Republic of Ireland - Nagyerdei Stadion, Debrecen, Hungary - September 27, 2026 Republic of Ireland players wearing black armbands in recognition of all lives lost in the Gaza conflict bow their heads and during the Israel national anthem before the match REUTERS/Bernadett Szabo
Pertemuan kedua-dua pasukan dalam Kumpulan B3 menjadi tumpuan sejak undian Liga Negara-Negara UEFA dibuat pada Februari lalu. Pemain Ireland berdepan tekanan daripada pelbagai pihak yang menggesa mereka memboikot perlawanan berkenaan susulan perang Israel-Gaza. - Gambar Reuters
Advertisement

DEBRECEN: Pemain Ireland dan Israel tidak berjabat tangan antara satu sama lain sebelum perlawanan Liga Negara-Negara UEFA yang berlangsung di Hungary pada Ahad, dalam aksi yang dibayangi kontroversi berkaitan konflik berterusan di Gaza.

Selepas memasuki padang di Stadium Nagyerdei, pemain Ireland berdiri untuk lagu kebangsaan mereka dan dilihat menundukkan kepala ketika lagu kebangsaan Israel dimainkan.

Sejurus selesai kedua-dua lagu kebangsaan, pemain kedua-dua pasukan tidak berbaris untuk sesi berjabat tangan yang lazimnya menjadi sebahagian daripada protokol rasmi sebelum sepak mula.

Malah, kapten Ireland, Dara O'Shea dan kapten Israel, Manor Solomon turut tidak bertukar cenderamata pasukan selain tidak berjabat tangan.

Pertemuan kedua-dua pasukan dalam Kumpulan B3 menjadi tumpuan sejak undian Liga Negara-Negara UEFA dibuat pada Februari lalu.

Pemain Ireland berdepan tekanan daripada pelbagai pihak yang menggesa mereka memboikot perlawanan berkenaan susulan perang Israel-Gaza. 

Kempen dikenali sebagai "Stop The Game" yang digerakkan kumpulan Irish Sport for Palestine turut mendapat sokongan meluas.

Bagaimanapun, skuad Ireland membuat keputusan untuk meneruskan perlawanan selepas mengadakan mesyuarat panjang di hotel penginapan pasukan di Debrecen pada Sabtu.

Dalam perkembangan berasingan, penjaga gol Gavin Bazunu mengumumkan penarikan dirinya daripada skuad kebangsaan kerana berasakan penyertaannya dalam dua perlawanan menentang Israel adalah tidak wajar berdasarkan pendiriannya mengenai konflik tersebut.

Sebagai simbolik, pemain Ireland memakai lilitan hitam di lengan sebagai tanda memperingati semua nyawa yang terkorban akibat konflik di Gaza.

Malah, pemain tengah Jack Moylan dilihat mencium lilitan hitam itu selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya sebelum mencium lencana pasukan pada jersinya.

Pemain Ireland turut diejek oleh sebilangan kecil penyokong Israel yang hadir ketika mereka menjalani sesi pemanas badan sebelum perlawanan.

Persatuan Bola Sepak Ireland (FAI) sebelum ini memutuskan untuk tidak menjual tiket kepada penyokong Ireland bagi perlawanan tersebut, meskipun beberapa penyokong tetap dilihat hadir di dalam stadium.

Ketua jurulatih Ireland, Heimir Hallgrimsson mengakui, kontroversi yang mengelilingi perlawanan itu memberi tekanan besar kepada pasukan, khususnya pemain muda.

"Ini antara minggu paling mencabar sepanjang karier saya sebagai jurulatih. Ramai pemain berdepan pelbagai emosi kerana situasi yang tidak pernah mereka alami sebelum ini.

"Tanggungjawab kami adalah melindungi mereka dan memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya," katanya.

Beliau turut mengakui persiapan pasukan terjejas akibat pelbagai isu luar padang, namun berharap pemain dapat menumpukan perhatian kepada bola sepak dan memberikan aksi terbaik.

Kontroversi membabitkan pertemuan Ireland dan Israel semakin memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada November tahun lalu, FAI meluluskan usul menggesa UEFA menggantung penyertaan Israel dalam pertandingan anjurannya. 

Selain itu, lebih 160 atlet Ireland turut menandatangani surat terbuka yang menggesa pasukan kebangsaan memboikot perlawanan tersebut.

Ketegangan turut meningkat minggu ini apabila Persatuan Bola Sepak Israel mengkritik Hallgrimsson berhubung kenyataannya berkaitan konflik Gaza.

Jurulatih itu kemudiannya mengakui penggunaan perkataan tertentu dalam kenyataannya sebelum ini adalah tidak tepat.

Konflik semasa bermula selepas kumpulan Hamas melancarkan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyebabkan 251 individu dijadikan tebusan.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran di Gaza. 

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas, lebih 73,000 orang terbunuh dalam konflik tersebut, angka yang turut dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di sebalik ketegangan di luar padang, Ireland berjaya mengekalkan fokus untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas Israel menerusi jaringan Troy Parrott, Adam Idah dan Jack Moylan pada separuh masa pertama. 

Keputusan itu menghadiahkan kemenangan pertama Ireland dalam kempen Liga Negara-Negara UEFA Kumpulan B3 musim ini, sekali gus menjadi respons positif selepas kekalahan kepada Kosovo sebelum ini. 

Israel pula gagal memanfaatkan peluang untuk bangkit meskipun meningkatkan tekanan pada babak kedua, dengan penjaga gol Caoimhin Kelleher cemerlang memastikan gawang Ireland kekal tanpa bolos. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement