Skip to main content

Sukan

Petarung Tibet pertama China buru gelaran UFC

Atlet berusia 30 tahun itu kini berada pada ranking ke-11 dunia dalam kategori Flyweight UFC. - Instagram/@ufcfightpass
Atlet berusia 30 tahun itu kini berada pada ranking ke-11 dunia dalam kategori Flyweight UFC. - Instagram/@ufcfightpass

Advertisement

Ringkasan AI

  • Su Mudaerji, petarung UFC berketurunan Tibet, kini berada di ranking ke-11 dunia kategori Flyweight selepas menang di Shanghai pada Ogos lalu.
  • Kejayaannya memberi inspirasi kepada generasi muda Tibet untuk menceburi seni mempertahankan diri campuran (MMA) dan meningkatkan minat terhadap sukan itu di wilayah tersebut.
  • Sumu berhasrat merangkul kejuaraan UFC dalam tempoh tiga tahun, berharap China memiliki juara dunia lelaki selepas kejayaan Zhang Weili pada 2019.

SHANGHAI: Petarung pertama berketurunan Tibet yang beraksi dalam Ultimate Fighting Championship (UFC), Su Mudaerji, terus mengorak langkah memburu kejuaraan dunia sambil memberi inspirasi kepada generasi muda di wilayah Tibet untuk menceburi seni mempertahankan diri campuran (MMA).

Dikenali dengan gelaran "Helang Tibet" dan mesra dipanggil Sumu oleh peminat, atlet berusia 30 tahun itu kini berada pada ranking ke-11 dunia dalam kategori Flyweight UFC selepas mencatat kemenangan sebulat suara di Shanghai pada Ogos lalu.

Kemenangan itu dicapai di hadapan penonton terbesar pernah direkodkan UFC di Asia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara petarung China yang sedang meningkat naik.

Sumu dibesarkan dalam sebuah keluarga petani di wilayah Sichuan, barat China, yang majoriti penduduknya terdiri daripada etnik Tibet.

Ketika kecil, beliau membantu keluarganya menanam kentang, jagung dan tembikai.

Menurutnya, beliau tidak pernah membayangkan akan berpeluang menyertai UFC, organisasi MMA terbesar di dunia.

"Saya pernah menonton perlawanan UFC, tetapi saya tidak berani membayangkan diri sendiri berada di pentas itu," katanya.

Kejayaannya kini turut membawa tanggungjawab yang lebih besar apabila semakin ramai belia Tibet menjadikannya sebagai sumber inspirasi.

Beliau berkata semakin ramai kanak-kanak dan remaja di kawasan Tibet mula melibatkan diri dalam MMA serta melihatnya sebagai contoh untuk diikuti.

Sokongan itu jelas kelihatan di Shanghai apabila peminat dari komuniti Tibet sanggup melakukan perjalanan jauh semata-mata untuk menyaksikannya beraksi.

Perkembangan sukan MMA di China turut didorong oleh populariti UFC yang semakin meningkat sejak menganjurkan acara pertamanya di negara itu pada 2017.

Kejayaan atlet seperti Zhang Weili yang muncul juara UFC wanita pertama dari China pada 2019 turut membantu memperluaskan pengaruh sukan berkenaan.

Bagi Sumu, matlamat seterusnya adalah merangkul kejuaraan UFC dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Katanya, beliau berharap suatu hari nanti peminat dapat berbangga bahawa China bukan sahaja mempunyai juara wanita UFC, malah turut memiliki juara dunia lelaki.

 

 

Must Watch Video

Advertisement