Skip to main content
Advertisement

Sukan

Piala ASEAN FIFA: Cheng Hoe mahu Malaysia manfaatkan sorakan Gelora Bung Karno

JAKARTA, 24 Sept - Ketua Jurulatih Interim Pasukan Bola Sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe bercakap pada sidang media pra perlawanan kempen sulung Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, di sini hari ini. Cheng Hoe akan memimpin skuad Harimau Malaya dalam Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, dengan aksi pembukaan menentang Bangladesh sebelum berdepan tuan rumah Indonesia dan Singapura. - fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Cheng Hoe berkata kemenangan pada aksi pembukaan semalam juga telah memberikan Malaysia lonjakan keyakinan yang tepat pada masanya. - Foto Bernama
Advertisement

JAKARTA: Ketua Jurulatih Sementara Harimau Malaya Tan Cheng Hoe, mahu para pemainnya menjadikan sorakan di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) sebagai pembakar semangat, apabila mereka berhadapan dengan pasukan tuan rumah Indonesia, pada pertembungan Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di sini pada Isnin.

Cheng Hoe berkata beliau menjangkakan suasana yang hangat dengan sokongan padu penyokong tuan rumah buat skuad Garuda, namun percaya situasi itu sepatutnya menyemarakkan semangat dan bukannya menakutkan para pemainnya.

Jurulatih berusia 58 tahun itu berkata Malaysia mesti memanfaatkan pentas tersebut, kekal tenang dan fokus kepada permainan mereka sendiri, dalam perlawanan yang dijangka berintensiti tinggi itu.

“Bermain menentang Indonesia di GBK benar-benar memberi kami keyakinan dan keterujaan. Saya rasa stadium akan penuh dan para pemain kami sangat menikmati suasana sebegini.

“Pada masa yang sama, kami perlu kekal fokus. Kami tahu bermain menentang Indonesia bukanlah satu perlawanan yang mudah,” katanya pada sidang media pascaperlawanan selepas kemenangan 3-0 Malaysia ke atas Bangladesh.

Cheng Hoe berkata kemenangan pada aksi pembukaan semalam juga telah memberikan Malaysia lonjakan keyakinan yang tepat pada masanya, serta momentum positif menjelang pertemuan dengan pasukan tuan rumah.

Beliau berkata barisan kejurulatihan dan para pemain sudah bersedia untuk menyahut cabaran tersebut, walaupun tempoh rehat yang singkat bermakna proses pemulihan akan menjadi sangat penting, sebelum perlawanan seterusnya.

Cheng Hoe berkata Malaysia perlu mesti meneruskan rentak permulaan yang memberangsangkan itu sambil bersedia menghadapi ujian yang lebih sukar menentang pasukan Indonesia yang juga baru sahaja mencatat kemenangan.

“Langkah pertama adalah baik, kerana kami memenangi perlawanan pembukaan. Ia memberi kami keyakinan dan momentum yang baik. Sudah pasti, barisan kejurulatihan dan para pemain bersedia untuk bersaing menentang Indonesia dan bersedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Cheng Hoe berkata pasukan perubatan akan menilai keadaan para pemain dalam tempoh dua hari akan datang, sebelum barisan kejurulatihan memuktamadkan perancangan mereka untuk hari Isnin.

Malaysia membuka kempen mereka dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, manakala Indonesia juga memulakan kejohanan dengan kemenangan 2-0 ke atas Singapura.

Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan menyaksikan Indonesia mencatat kemenangan 4-1 pada peringkat kumpulan Piala AFF 2021, manakala pertembungan terbaharu mereka di GBK berakhir dengan kemenangan 3-2 memihak kepada Malaysia ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada tahun 2019.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement