KUALA LUMPUR: Tumpuan peminat bola sepak dunia pasti terarah kepada gabungan pemain berpengalaman dan bakat generasi baharu yang berpotensi mencorakkan perjalanan kempen Piala Dunia FIFA 2026.
Di atas kertas, nama-nama besar yang telah lama mewarnai arena bola sepak antarabangsa sememangnya terus menjadi sebutan, namun reputasi dan pengalaman semata-mata tidak lagi menjamin dominasi mutlak di pentas tertinggi bola sepak dunia itu.
Penganalisis sukan tempatan Zack Rahim berkata Piala Dunia sentiasa menjadi platform terbaik untuk mana-mana pemain mencipta impak, khususnya pemain muda yang sedang meningkat naik.
Beliau berkata penyerang Norway Erling Haaland antara pemain yang dijangka mencuri perhatian berdasarkan prestasinya yang konsisten di peringkat antarabangsa dan kelab.
“Penyerang biasanya lebih mudah mendapat perhatian kerana gol yang dijaringkan sering menjadi ukuran utama prestasi seseorang pemain. Berdasarkan rekod semasa dan keupayaan menjaringkan gol secara konsisten, Haaland berpotensi muncul antara bintang utama kejohanan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Haaland juga telah melaungkan amaran awal tentang keberadaan beliau di pentas antarabangsa apabila berjaya mencetak 16 gol sepanjang lapan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026.
Zack ketika mengulas mengenai peluang pemain berpengalaman berkata bintang Portugal Cristiano Ronaldo mungkin berdepan cabaran besar untuk merealisasikan impian memenangi satu-satunya trofi utama yang masih belum berada dalam koleksi kerjayanya.
“Jika kita melihat sejarah Piala Dunia, pemain legenda seperti Diego Maradona dan Pele turut mengalami penurunan prestasi apabila usia meningkat. Pada satu tahap, faktor fizikal mula memainkan peranan yang besar.
“Mungkin mereka masih berada dalam skuad tetapi peluang beraksi secara penuh dalam setiap perlawanan menjadi lebih terhad berbanding ketika berada di kemuncak prestasi,” katanya.
Beliau berkata situasi sama juga berkemungkinan dihadapi kapten Argentina Lionel Messi yang dijangka berusia 39 tahun ketika kejohanan berlangsung.
Menurut Zack, intensiti permainan pada kempen Piala Dunia yang tinggi menuntut tahap kecergasan dan ketahanan fizikal yang optimum, sekali gus menjadikan faktor usia antara cabaran utama bagi pemain veteran itu, yang pastinya mahu menjulang piala selaku juara bertahan.
“Tempoh pemulihan yang lebih panjang dan keperluan untuk mengekalkan tahap kecergasan terbaik mungkin menyebabkan pemain berusia lebih banyak digunakan sebagai pemain gantian atau direhatkan dalam beberapa perlawanan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ahmad Faisal Mohamed Fiah menamakan tiga individu yang bakal menjadi tumpuan, iaitu Kylian Mbappe (Perancis), Jamal Musiala (Jerman) serta Lamine Yamal (Sepanyol).
“Mereka itu rasanya adalah nama-nama yang akan mendapat perhatian kerana mereka antara pemain bola sepak generasi masa hadapan.
“Cuma kita tidak pasti bila, kerana apabila terlalu menjadi tumpuan, risau gagal menyerlah,” katanya.
Beliau berkata pasukan yang berjaya mengimbangi pengalaman pemain senior dengan tenaga dan kreativiti pemain muda berkemungkinan mempunyai peluang lebih cerah untuk melangkah jauh pada kejohanan itu.
Piala Dunia 2026 berlangsung di tiga negara, iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico melibatkan 48 pasukan, sekali gus mencatat jumlah penyertaan terbesar dalam sejarah kejohanan berprestij itu sejak pertama kali diadakan pada edisi 1930 di Uruguay.
-- BERNAMA